
Klang, 5 Julai 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi Pusat Pengajian Sains Matematik dan Kelab Keusahawanan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) telah berjaya melaksanakan Program Minda Matematik Jiwa Usahawan di Rumah Anak Yatim dan Asnaf Ulin Nuha, Klang, dengan penyertaan aktif seramai 26 anak-anak yatim dan asnaf.
Program komuniti ini direka khusus bagi memupuk minat terhadap bidang Matematik dan menyemai semangat keusahawanan sejak usia awal. Pelbagai pendekatan interaktif dan menyeronokkan digunakan bagi menyantuni anak-anak yatim melalui aktiviti pembelajaran kreatif, penerapan nilai keusahawanan, serta hubungan mesra bersama fasilitator UiTM. Antara pengisian menarik termasuk:
- Slot “Menggeometrikan Masjid” – aktiviti geometri praktikal
- Slot motivasi “Belajar Hidup dari Matematik” – membina jati diri
- Simulasi “Food Fest Mini CEO” – pendekatan realistik keusahawanan

Slot “Food Fest Mini CEO” menjadi kegemaran peserta kerana memberi gambaran sebenar aktiviti perniagaan dalam suasana bimbingan santai. Selain itu, aktiviti “Menggeometrikan Masjid” turut mendapat sambutan positif kerana mendorong peserta untuk mengaplikasikan konsep Matematik dalam bentuk reka bentuk binaan seimbang dan terapung, dilengkapi taman di atas bumbung. Ulasan peserta seperti Nurul Izzatul binti Abdullah membuktikan keberkesanan pendekatan STEM yang diterapkan secara imaginatif dan mudah difahami.
Sebagai simbol keprihatinan dan sokongan sosial, pihak penganjur turut menyerahkan sumbangan barangan asas harian seperti makanan, minuman, penyangkut baju, pencuci pakaian dan tisu kepada pihak Rumah Anak Yatim dan Asnaf Ulin Nuha.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM Shah Alam dalam memajukan pendidikan STEM secara inklusif dengan elemen keusahawanan berimpak tinggi kepada golongan yang memerlukan. Usaha ini selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025, yang menekankan penglibatan pelajar dalam pendekatan pembelajaran formal, bukan formal dan tidak formal bagi merangsang minat terhadap STEM dalam kalangan generasi muda.
Penulis: Dr. Nur Tasnem Jaaffar (Editor: FSKM News Team)
