Pengantarabangsaan UiTM Perak: Perkongsian Ilmu dan Budaya Bersama Widyatama dan Cirendeu

Bandung, Indonesia – 13 Jun 2025 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak terus mengorak langkah dalam memacu jaringan pengantarabangsaan menerusi pelaksanaan Program Mobiliti Pelajar selama tiga hari di Bandung, bersama Universitas Widyatama dan Komuniti Kampung Adat Cirendeu, Indonesia. Program ini menjadi platform pemerkasaan akademik dan penglibatan komuniti yang berimpak tinggi dalam usaha menjadikan UiTM sebagai institusi yang Globally Renowned, Locally Rooted menjelang 2025.

Program ini merangkumi pelbagai pengisian, termasuk Sesi penanda aras akademik bersama Universitas Widyatama, Perbincangan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) merangkumi pertukaran pelajar dan pensyarah, pelaksanaan kuliah tamu serta penyelidikan bersama serta Projek University Social Responsibility (USR) dan Knowledge Transfer Programme (KTP) bersama Komuniti Kampung Adat Cirendeu.

Salah satu komponen utama ialah bengkel visual dan fotografi yang dikendalikan oleh Ts. Ahmad Sofiyuddin Mohd Shuib, pensyarah dari Jabatan Grafik, UiTM Cawangan Perak, yang membantu komuniti kampung adat dalam aspek pemasaran digital. Bengkel ini turut melibatkan 10 orang pelajar dan pensyarah UiTM Perak, yang berpeluang mendekati keunikan budaya Sunda melalui seni bina tradisional, hasil kraftangan, makanan berasaskan ubi kayu (singkong) serta persembahan alat muzik angklung, yang menjadi identiti budaya tempatan.

Pengalaman merentas budaya ini bukan sahaja memperluas perspektif pelajar terhadap kelestarian budaya dan kearifan lokal, malah memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan komuniti setempat, selaras dengan matlamat Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSTPN). Kolaborasi ini juga membuka ruang kepada pembangunan modul antarabangsa, pertukaran ilmu secara rentas sempadan, serta penyelidikan kolaboratif yang relevan dengan keperluan semasa.

Usaha ini membuktikan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan global, tetapi juga cakna terhadap nilai tempatan dan tanggungjawab sosial, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan komuniti serantau.