
Kuala Kangsar, 25 Julai 2025 – Seramai lebih 50 wanita dari Mukim Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak telah menyertai Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti–Pemerkasaan Wanita (PRBBC–PW) yang berlangsung pada Sabtu, 20 Julai 2025. Program ini dianjurkan secara kolaboratif oleh UiTM MERCY Resilient Community Center (UMRCC), UiTM Cawangan Perak, bersama MERCY Malaysia Perak Chapter (MMPC) dan Think City Malaysia, melibatkan peserta berumur antara 15 hingga 80 tahun.
Matlamat program ini ialah untuk memperkukuh daya tahan komuniti terhadap risiko bencana melalui pendekatan berasaskan komuniti yang berfokus kepada golongan wanita. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap potensi bahaya dan risiko bencana, memberi latihan dalam aspek kesiapsiagaan dan tindak balas, serta membentuk mekanisme tempatan yang mampan dan sesuai dengan latar sosial dan geografi komuniti setempat.


Kerjasama Think City Malaysia telah memperkayakan program melalui perkongsian dapatan kajian berkaitan isu-isu setempat, menjadikannya lebih relevan dan berimpak tinggi. Sesi fasilitasi telah dikendalikan oleh empat sukarelawan dari MERCY Malaysia dan dua wakil dari Think City Malaysia.
Antara impak utama program ini ialah peningkatan tahap kesedaran masyarakat terhadap risiko bencana, keupayaan melaksanakan tindakan pencegahan lebih awal, dan pengukuhan jaringan kerjasama antara komuniti, kepimpinan kampung serta agensi berkaitan. Penduduk kini lebih bersedia dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bantuan luar pada fasa awal bencana.
Menurut wakil komuniti, pelaksanaan PRBBC–PW di Mukim Kota Lama Kiri merupakan langkah strategik ke arah memperkasakan wanita luar bandar sebagai barisan hadapan dalam pengurusan bencana. Kejayaan program ini mencerminkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh keselamatan dan kelestarian komuniti melalui pendidikan dan latihan yang menyeluruh serta inklusif.
