
Shah Alam, 15 Jun 2025 — Lebih 300 hadirin hadir dalam suasana penuh gilang-gemilang sempena Majlis Penghargaan Kesatria – Orkestra Kesatria 2025 yang berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM). Majlis ini dianjurkan bagi meraikan komitmen luar biasa para pelatih dan jurulatih Kesatria dalam memupuk sahsiah, kepimpinan dan semangat patriotisme mahasiswa.
Majlis berprestij ini disempurnakan oleh YBhg. Leftenan Jeneral (B) Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), yang turut menyampaikan penghargaan kepada warga Kesatria atas dedikasi tinggi sepanjang program pembangunan holistik berlangsung.
Turut hadir memberikan sokongan ialah barisan kepimpinan UiTM termasuk ahli Mesyuarat Eksekutif Universiti (MEU) iaitu Prof. Ts. Dr. Norazah Abd Rahman, TNC Penyelidikan & Inovasi, Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, TNC Jaringan Industri, Komuniti & Alumni, Prof. Ir. Ts. Dr. Juliana Johari, Ketua Pegawai Digital UiTM.


Majlis turut menampilkan detik bersejarah melalui penyampaian Anugerah Pelatih Terbaik Seksyen dan Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan, sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan disiplin, kepimpinan dan prestasi latihan dalam kalangan pelatih.
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, Datuk Dr. Hasrol Jono, acara turut diserikan dengan persembahan eksklusif Orkestra Kesatria, hasil gabungan bakat seni dan kreativiti para pelatih. Persembahan ini mencerminkan nilai estetika yang berpaksikan disiplin dan semangat kenegaraan, selaras dengan aspirasi Kesatria UiTM.
Majlis ini bukan sahaja menjadi medan penghargaan pencapaian pelatih, malah menjadi pemangkin semangat baharu buat warga Kesatria agar terus unggul dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan.
UiTM terus komited dalam melahirkan mahasiswa holistik yang bersedia menjadi pemimpin berintegriti serta berjati diri tinggi demi agama, bangsa dan negara.
