Khidmat Komuniti Mahasiswa: ‘Heart to Heart’ Ceriakan Anak Yatim

Raub, 14 Jun 2025 – Dalam usaha memperkukuh nilai empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, Business Society, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub telah menganjurkan program kebajikan bertemakan “Heart to Heart” bertempat di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan, Raub.

Program ini melibatkan penyertaan mahasiswa dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan dan bertujuan menyantuni golongan kanak-kanak kurang bernasib baik melalui pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan. Inisiatif ini juga menjadi platform pembangunan sahsiah mahasiswa melalui penglibatan langsung dalam aktiviti kesukarelawanan luar kampus.

Antara objektif utama program termasuk mewujudkan hubungan erat antara mahasiswa dan komuniti setempat, meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya empati dan kesejahteraan emosi, ,enyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi PI039 (Kesejahteraan Emosi) serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3 – Good Health and Well-being dan SDG 10 – Reduced Inequalities.

Majlis penutup diserikan dengan sesi penyampaian cenderahati dan sesi bergambar kenangan. Semua hadiah dan sumbangan adalah hasil kutipan derma daripada warga kampus, termasuk pelajar dan staf UiTM Raub.

Program “Heart to Heart” membuktikan komitmen UiTM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat. Inisiatif ini telah memberi impak positif yang mendalam kepada kedua-dua pihak—mahasiswa sebagai sukarelawan dan kanak-kanak sebagai penerima manfaat—sekali gus memperkukuh peranan universiti dalam pembangunan komuniti secara holistik.