Fakulti Alam Bina Perkukuh Jalinan Antarabangsa Melalui Pemeterian MoU Bersama Pebbles Academy, Sri Lanka

Colombo, Sri Lanka – 17 Julai 2025 Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi Fakulti Alam Bina (FAB) terus memperluas jaringan akademik antarabangsa dengan menjalin kerjasama strategik bersama Pebbles Academy, Sri Lanka melalui sesi penyerahan rasmi Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Colombo. MoU berkenaan diserahkan secara rasmi oleh Dekan FAB, Prof. Ts. Dr. Hajah Emma Marinie Ahmad Zawawi, kepada pihak pengurusan Pebbles Academy dalam satu majlis yang merintis inisiatif mobiliti akademik dan pemerkasaan bidang Ukur Bahan di peringkat global.

Majlis bersejarah ini turut disertai oleh wakil akademik dari Bidang Ukur Bahan, FAB, iaitu Prof. Sr Dr. Mohammad Fadhil Mohammad, Sr Dr. Ani Saifuza Abd Shukor, dan Sr Dr. Anis Sazira Bakri, yang bersama-sama membincangkan pelaksanaan aktiviti di bawah kerjasama dua hala serta cadangan pembangunan program diploma eksekutif dalam bidang Ukur Bahan. Program ini dirangka khusus bagi meningkatkan tahap kemahiran dan kebolehpasaran graduan Diploma Ukur Bahan dari Pebbles Academy, melalui pendekatan kurikulum yang selari dengan kehendak industri semasa.

Pemeterian MoU ini membuka ruang luas kepada pensyarah UiTM untuk terlibat dalam aktiviti pemindahan ilmu, pembangunan modul akademik bersama dan penyelidikan kolaboratif yang bersifat antarabangsa dan relevan. Bagi pelajar kedua-dua institusi, kerjasama ini dijangka membawa manfaat besar dalam bentuk pengalaman pembelajaran rentas budaya, seminar antarabangsa, program akademik bersama dan pembangunan profesional, selaras dengan aspirasi UiTM untuk melahirkan graduan yang kompeten dan berdaya saing di persada global.

Inisiatif ini juga mengukuhkan lagi imej UiTM sebagai institusi pendidikan tinggi yang progresif dan terbuka dalam membina jaringan strategik antarabangsa, terutama dalam bidang teknikal dan profesional yang berkembang pesat seperti Ukur Bahan. Dengan jalinan kerjasama ini, UiTM menzahirkan komitmen berterusan terhadap pembangunan akademik bertaraf dunia yang menyokong transformasi pendidikan global.