
Sungai Buloh, 28 Jun 2025 – Coalfield Amal Fiesta 2025 melabuhkan tirainya sebagai sebuah acara komuniti berimpak tinggi yang bukan sahaja meraikan semangat kesukarelawanan tetapi turut memperkasa keusahawanan sosial dalam kalangan generasi muda. Acara ini dianjurkan hasil kolaborasi antara Pertubuhan Kebajikan Pendidikan Amal Asyura dan Sekolah Kebangsaan Desa Aman, Sungai Buloh, di bawah inisiatif nasional Service Learning Malaysia–University for Society (SULAM).
Program ini telah diterajui oleh pelajar Semester 4 Keusahawanan (BA2634A), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dengan bimbingan akademik daripada pensyarah kursus ENT621 Keusahawanan Sosial. Berlangsung pada 28 Jun 2025, acara ini menghimpunkan lebih 100 peserta dan komuniti dalam suasana penuh ceria dan inspiratif.
Tujuan utama fiesta ini adalah untuk memperkenalkan 14 orang anak yatim dari Rumah Amal Asyura kepada asas keusahawanan menerusi pengalaman sebenar dalam pengurusan jualan, perkhidmatan pelanggan dan kerja berpasukan. Aktiviti seperti simulation games dan pengendalian booth jualan telah dirangka bagi memupuk kemahiran insaniah termasuk kepimpinan dan komunikasi efektif secara langsung.
Salah satu tarikan utama ialah jualan amal pakaian terpakai hasil sumbangan warga UiTM yang dijual pada harga berpatutan bagi mengumpul dana kebajikan. Di samping itu, pengunjung turut disajikan dengan pameran interaktif dan booth kesedaran awam oleh agensi dan institusi tempatan, merangkumi isu kesihatan mata, keselamatan kebakaran, penjagaan kesihatan dan kerjaya.


Fiesta ini turut menampilkan pelbagai aktiviti mesra keluarga termasuk pertandingan mewarna, gerai makanan dan minuman, serta persembahan pentas yang menyemarakkan kemeriahan dan merapatkan hubungan komuniti setempat.
Sokongan terhadap program ini dizahirkan oleh kehadiran tetamu kehormat dari institusi pendidikan dan organisasi tempatan, serta disokong oleh sejumlah penaja utama seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Bank Simpanan Nasional (BSN), MHG Corporate Holdings Sdn Bhd, dan Adabi, selain penaja bersama dari pelbagai sektor usahawan tempatan.
Kutipan dana sepanjang program berjaya mencecah sebanyak RM10,990.64, satu pencapaian yang membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan dan penglibatan aktif pelbagai pihak mampu mencetuskan impak sosial yang bermakna. Coalfield Amal Fiesta 2025 menjadi bukti nyata bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan penglibatan komuniti mampu melahirkan mahasiswa berjiwa besar, berdaya saing dan prihatin terhadap isu masyarakat.
