
Tapah, 3 Mei 2025 – Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Tapah, dengan kerjasama Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Lenggong, telah berjaya melaksanakan Program Intervensi Matematik Tingkatan 4: Ungkapan Algebra dan Persamaan Kuadratik bertempat di Maktabah Al Israq, SMTDR Lenggong.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Peningkatan Prestasi Matematik Moden untuk Pelajar Tahfiz, yang bertujuan memperkukuh penguasaan pelajar terhadap topik-topik kritikal dalam Kertas 2 Matematik SPM, khususnya dalam kalangan pelajar aliran kokurikulum Tahfiz.


Program dibahagikan kepada dua sesi utama merangkumi Ungkapan Algebra dan Persamaan Kuadratik, iaitu antara topik yang lazim mencabar dari segi aplikasi dan penyelesaian masalah. Seramai 22 pelajar Tingkatan 4 telah mengikuti sesi intensif bimbingan bersama 9 pensyarah UiTM yang berperanan sebagai fasilitator dalam kumpulan kecil. Pendekatan ini memberi penekanan kepada pemahaman konsep, strategi menjawab soalan, serta latihan penyelesaian masalah secara berfokus.
Program turut disokong penuh oleh pihak SMTDR, termasuk Pengetua, En. Muhammad Khair Azhar, Penolong Kanan HEM, En. Mohd Nazrimi Zarim, serta guru Matematik yang terlibat secara langsung dalam pemantauan sesi. Kerjasama erat antara UiTM dan pihak sekolah telah menjadi asas penting kepada kejayaan pelaksanaan program intervensi ini.
Bagi memotivasikan pelajar, pensyarah turut menyumbangkan hadiah berbentuk alat tulis dan makanan ringan. Penyediaan kudapan bagi semua peserta turut mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif dan mesra pelajar.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen UiTM dalam menyokong pembangunan pelajar holistik yang cemerlang dalam aspek akademik dan keagamaan, serta sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 – Pendidikan Berkualiti. Program ini diharap dapat diteruskan secara lebih berstruktur dan berkala pada masa hadapan dalam usaha melahirkan pelajar tahfiz yang berdaya saing dan bersedia mendepani cabaran masa depan.
