UiTM Selangor dan Gardenia Lancar Program Jelajah Inspirasi Mahasiswa

PUNCAK ALAM, 12 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor dengan kerjasama Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. telah menganjurkan Program Pelancaran Gardenia ‘Fuel Your Success – One Bite At A Time’, bertempat di kampus Puncak Alam. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Encik Hirman Awang, Pengarah Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), dan merupakan sebahagian daripada siri jelajah melibatkan 10 institusi pengajian tinggi di seluruh negara.

Inisiatif ini bertujuan memberi inspirasi, motivasi dan bimbingan kepada mahasiswa dalam pelbagai aspek kehidupan kampus, di samping memperkenalkan produk Ready-to-Eat (RTE) keluaran Gardenia kepada komuniti pelajar. Turut hadir mewakili UiTM ialah YBrs. Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UiTM Cawangan Selangor, bagi pihak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, YBrs. Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran artis dan penceramah jemputan, Najwa Latif, yang berkongsi pandangan serta pengalaman beliau dalam aspek pengurusan masa, pengurusan tekanan dan kemahiran komunikasi. Sesi diakhiri dengan kuiz interaktif yang menceriakan suasana dan menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pelajar yang mengambil bahagian.

Penganjuran program ini membuktikan keberkesanan kolaborasi strategik antara institusi akademik dan sektor industri dalam memperkukuh pembangunan sahsiah serta kesejahteraan mental mahasiswa. UiTM Cawangan Selangor komited untuk terus menjalin kerjasama seumpama ini dalam usaha memperkasa ekosistem pembelajaran holistik yang seimbang antara akademik dan nilai kehidupan.

Penulis: Nor Azyyati Md Saad 

Editor: Inarah Ajhar