
Kota Kinabalu, 19 Mei 2025 – Pelancaran rasmi Majlis TVET Negeri Sabah telah disempurnakan oleh YB Datuk Ir. Shahelmey Bin Yahya, Timbalan Ketua Menteri III Sabah, yang mewakili YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, dalam sebuah majlis berprestij yang menandakan langkah proaktif negeri Sabah dalam memperkukuh pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam majlis berkenaan, dua pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Teknikal Majlis TVET Negeri Sabah, iaitu Ts. Siti Aminah Mohammad, Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan, dan Dr. Ung Ling Ling, Koordinator Prasiswazah, Fakulti Sains Komputer dan Matematik. Pelantikan ini merupakan satu pengiktirafan terhadap kepakaran akademik UiTM dalam bidang teknikal dan vokasional, serta membuktikan komitmen institusi tersebut dalam menyokong agenda pembangunan negeri.


Melalui penyertaan aktif ini, UiTM Cawangan Sabah bersedia memainkan peranan strategik dalam menyumbang idea, merangka pelan tindakan, serta mencadangkan pendekatan berimpak tinggi bagi memperkukuh landskap TVET di Sabah.
Majlis TVET Negeri Sabah, yang ditubuhkan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, berfungsi sebagai badan penyelaras dasar, hala tuju dan pelaksanaan pembangunan pendidikan TVET peringkat negeri, selaras dengan aspirasi Majlis TVET Negara.
Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan institusi pendidikan tinggi seperti UiTM bukan sahaja memperkukuh ekosistem pembelajaran teknikal, malah menyokong matlamat memasyarakatkan universiti agar lebih responsif terhadap keperluan setempat serta aspirasi pembangunan inklusif Sabah.
