UiTM Puncak Alam Anjur Karnival Kesihatan, Perkasa Kesedaran Seksual & BLS

SHAH ALAM, 9 Jun 2025 – Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA) Fakulti Sains Kesihatan UiTM Kampus Puncak Alam, bagi sesi 2024/2025, telah menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Sukarelawan Antarabangsa bertajuk “The Health Carnival 2.0 2025” di Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras, Sungai Bulohpada 27 Mei 2025.

Program bertemakan “The Best Intention Say No to HIV, STDs and Unwanted Pregnancy” ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai kesihatan seksual dan reproduktif, di samping memberikan pendedahan awal tentang Basic Life Support (BLS).

Kolaborasi ini melibatkan Rumah Kasih Harmoni, Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Shah Alam (PKKK), serta Fakulti Ilmu Kesehatan, Universitas Wiraraja, Jawa Timur, Indonesia. Seramai 11 ahli jawatankuasa dari Pusat Pengajian Kejururawatan UiTM, 8 ahli jawatankuasa pelajar kejururawatan, 30 delegasi dari Universitas Wiraraja, serta penghuni Rumah Kasih Harmoni turut serta menjayakan program ini.

Prof. Madya Bahiyah Abdullah, pakar Obstetrik dan Ginekologi dari Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), menyampaikan ceramah bertajuk “Bagaimana Menangani Kehamilan Tidak Dirancang dalam Kalangan Remaja,” mengupas punca dan kaedah penanganannya. Serentak itu, pasukan dari Fakulti Perubatan UiTM, diketuai Encik Mohd Fadeli bin Iberahim bersama fasilitator Encik Zulkarnain bin Zakaria dan Encik Muhd Isa Afif bin Noor Izham, mengendalikan sesi penerangan BLS.

Tuan Rahim Mohamed dari Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak Shah Alam kemudiannya menyampaikan ceramah “Bila Salah Langkah dan Iktibar,” yang menerangkan kesan kehamilan luar nikah dan undang-undang berkaitan di Malaysia. Ceramah penutup bertajuk “Kandungan di Luar Pernikahan Menurut Pandangan Islam” disampaikan oleh Ustazah Noor Rashidah A. Rahman dari Unit Hal Ehwal Islam UiTM. Setiap ceramah disusuli dengan sesi kuiz dan penyampaian hadiah kepada peserta yang berjaya.

Program berjaya mencapai objektif dalam meningkatkan kesedaran kesihatan seksual dan reproduktif serta pengetahuan asas BLS. Penganjuran ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama antara institusi tempatan dan antarabangsa, malah memupuk nilai kesukarelawanan, empati, dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan dan diperkasakan lagi demi manfaat bersama masyarakat dan dunia pendidikan.