
SEKINCHAN, 16 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerusi Fakulti Alam Bina (FAB) dan Persatuan Ukur Bahan (PERUBAHAN) telah menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertemakan pemuliharaan alam sekitar bertempat di pesisir Sungai Nibong, Batu 23, Sekinchan, Selangor.
Program yang dikenali sebagai Jejak Bakti Alam ini merupakan inisiatif kesedaran dan tindakan pemuliharaan ekosistem hutan paya laut (bakau) yang semakin terancam akibat pembangunan dan perubahan iklim.
Dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia), Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), dan Sahabat Alam Malaysia (SAM), program ini turut disertai oleh pensyarah jemputan dari Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam serta UiTM sendiri.

Seramai 70 peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM, pensyarah politeknik dan komuniti setempat telah berganding bahu dalam aktiviti penanaman 600 batang pokok bakau, sebagai langkah konkrit dalam usaha pemuliharaan hutan pesisir dan mitigasi perubahan iklim.
Program turut menampilkan dua sesi Bicara Bakau yang disampaikan oleh wakil SAM dan pensyarah UiTM, membincangkan kepentingan ekosistem bakau serta pendekatan pengurusan mampan yang boleh dilaksanakan oleh komuniti.
Menurut penganjur, program ini bukan sekadar aktiviti CSR, tetapi merupakan platform pemindahan ilmu, penyemaian nilai kelestarian, dan pengukuhan jaringan antara institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat setempat.
Jejak Bakti Alam mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkasa pendidikan berasaskan komuniti dan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam aspek tindakan iklim, pemuliharaan biodiversiti dan kerjasama untuk masa depan yang lestari.
