UiTM Jayakan HopeTrack 2025: Larian Amal Kukuh Kesedaran Kanser dan Semangat Kesukarelawanan Mahasiswa

SHAH ALAM, 14 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) telah berjaya menganjurkan program amal HopeTrack: Run & Give, United for Cancer, bertempat di Laman Budaya, Taman Tasik Seksyen 14, Shah Alam. Acara yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar Semester 5 Program Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Pengurusan Komunikasi dan Polisi ini menghimpunkan seramai 113 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Program CSR ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat sambil meningkatkan kesedaran awam mengenai kanser dan menggalakkan penyertaan komuniti dalam usaha kebajikan melalui larian amal sejauh 4KM. Ia turut menampilkan sesi perkongsian maya bertemakan inspirasi serta kit penyertaan istimewa merangkumi jersi eksklusif dan pingat.

Sebanyak RM1,200 telah berjaya dikutip dan disalurkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sebagai sokongan terhadap kemudahan rawatan dan bantuan perubatan untuk pesakit kanser kurang berkemampuan. Menurut jurucakap MAKNA, kolaborasi strategik bersama institusi pendidikan seperti UiTM penting dalam memperluas jangkauan mesej kesihatan, terutamanya di kalangan generasi muda. Acara ini turut diiktiraf sebagai bertepatan dengan sambutan Bulan Kanser Survivor.

HopeTrack berperanan sebagai platform membina nilai empati, semangat kesukarelawanan, dan kemahiran komunikasi serta kepimpinan dalam kalangan pelajar. Ketua Projek, Nurul Nadirah, menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan rakan sepasukan dalam menjayakan program meskipun berdepan pelbagai cabaran perancangan.

HopeTrack telah membuktikan bahawa inisiatif yang berlandaskan pendidikan, kesedaran kesihatan dan tanggungjawab sosial mampu mewujudkan impak positif terhadap komuniti. Program seumpama ini selaras dengan aspirasi UiTM dalam melahirkan graduan berdaya saing yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, tetapi turut prihatin terhadap isu sejagat.