
SHAH ALAM, 19 Jun 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencatat pencapaian terbaik apabila berada pada kedudukan ke-542 dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2026 dengan melonjak naik hingga 45 anak tangga. Kedudukan ini merupakan yang tertinggi pernah dicapai oleh UiTM sejak penubuhannya. Pencapaian ini menempatkan UiTM berada dalam kelompok 36% terbaik daripada 1,501 universiti terkemuka dunia yang dinilai pada tahun ini, sekali gus mengangkat martabat pendidikan tinggi negara di persada antarabangsa. Dengan memberikan tumpuan penuh terhadap transformasi strategik, ketampakan penyelidikan di peringkat antarabangsa, dan pembangunan kampus yang mampan, pencapaian ini bukan sekadar angka, malah mencerminkan sebuah universiti yang giat memperkukuh kedudukannya di persada global.
Melalui indikator jaringan penyelidikan antarabangsa, UiTM terus menunjukkan prestasi yang memberangsangkan untuk tahun ketiga berturut-turut, yang mana ia mencerminkan kerjasama global yang kian kukuh. Apa yang lebih membanggakan, skor kelestarian UiTM melonjak lebih daripada 250%, sekali gus ia mencerminkan kejayaan pelaksanaan kampus hijau dan inisiatif mampan yang konsisten. Skor reputasi akademik UiTM terus mengukuh untuk tahun keenam berturut-turut dengan meningkat sebanyak 21 anak tangga daripada kedudukan ke-288 kepada 267. Selain itu, UiTM turut tersenarai dalam kelompok 10 institusi terbaik di Malaysia bagi indikator reputasi majikan, daripada 32 institusi yang dinilai di peringkat nasional.
“Pencapaian ini bukan sekadar angka, sebaliknya ia adalah cerminan semangat, keazaman dan kebersamaan warga UiTM dalam mencapai kecemerlangan,” ujar Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib. Tambah beliau lagi, “Dalam merintis hala tuju visi UiTM2030, kami tetap teguh dalam melahirkan graduan bumiputera yang bersedia menghadapi masa depan dengan aspirasi global.” Pencapaian ini menyuntik semangat baharu warga UiTM dalam menjayakan aspirasi UiTM2030 untuk menjadi universiti terkemuka dunia dan meneruskan misi memperkasa anak bangsa melalui pendidikan bertaraf global.
