Program Mobiliti UiTM–Universitas Indonesia Kukuhkan Pertukaran Ilmu Kesihatan Ibu dan Anak

Puncak Alam, 27 Mei 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran Inbound Student Mobility Program bersama Fakulti Sains Kesihatan, Universitas Wiraraja, Jawa Timur, Indonesia. Program berimpak tinggi bertemakan “Enhancing Maternal and Child Healthcare: A Cross-Border Knowledge Exchange” ini berlangsung dari 21 hingga 27 Mei 2025 dan dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kejururawatan, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Puncak Alam.

Program ini bertujuan memperkukuh kerjasama akademik dua hala serta memperluas pemindahan ilmu dalam bidang kesihatan awam, khususnya penjagaan kesihatan ibu dan anak. Antara pengisian utama termasuk sesi pengajaran interaktif mengenai penjagaan antenatal, postnatal, imunisasi serta penjagaan bayi pramatang yang dikendalikan oleh pensyarah kanan berpengalaman dari UiTM.

Perkongsian kes klinikal antara pelajar dan instruktor dari kedua-dua institusi, simulasi proses kelahiran dan imunisasi di makmal kejururawatan klinikal, serta lawatan ke fasiliti HASA turut memperkayakan pembelajaran dalam persekitaran sebenar. Tambahan pula, pelajar Universitas Wiraraja berpeluang terlibat dalam program khidmat masyarakat di Rumah Kasih Harmoni, Sungai Buloh yang merangkumi ceramah kesihatan berkaitan kehamilan tidak dirancang, latihan CPR, serta aktiviti gotong-royong bersama komuniti.

Program ini bukan sahaja memperkukuh nilai empati, profesionalisme dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta, malah menyemai kesedaran sivik yang mendalam terhadap kesejahteraan komuniti. Lawatan silang budaya ke lokasi ikonik seperti KLCC, Batu Caves dan Pasar Seni turut memberi pendedahan kepada kepelbagaian warisan Malaysia.

Menurut Dr. Muhammad Afiq Zaki, Pegawai Perhubungan Pengantarabangsaan, program ini membuka ruang luas bagi pemindahan pengetahuan serta pembentukan jaringan profesional yang mampan. “Program ini bukan sahaja memberi impak positif kepada pelajar antarabangsa, tetapi turut mengangkat peranan UiTM sebagai institusi rujukan dalam latihan dan pendidikan kejururawatan di peringkat serantau,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Siti Khuzaimah Ahmad Sharoni, Ketua Pusat Pengajian Kejururawatan menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini selari dengan misi universiti untuk mendepani cabaran global melalui pendidikan berimpak tinggi. > “UiTM bukan sahaja mengukuhkan keterlihatan antarabangsa, malah membuktikan komitmen dalam menyumbang kepada peningkatan sistem kesihatan serantau,” jelas beliau.

Program ini merupakan sebahagian daripada agenda pengantarabangsaan UiTM, yang bertujuan memperluas kerjasama rentas sempadan serta membentuk warga universiti yang berwawasan global dan holistik.