Program Minda Sihat, Kampus Sejahtera: UiTM Jengka Perkukuh Peranan Staf dalam Sokongan Psikososial

Jengka, 24 April 2025 – Unit Psikologi dan Kaunseling, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dengan kerjasama Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) telah menganjurkan Program Minda Sihat, Kampus Sejahtera: Asas Kaunseling untuk Warga UiTM. Seramai 53 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah, staf pentadbiran serta Staf Residen Kolej (SRK) telah menyertai program ini.

Program yang dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Nazirah binti Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) ini bertujuan memberikan latihan asas kaunseling dan teknik sokongan psikososial kepada warga kampus, khususnya pensyarah (Penasihat Akademik), staf pentadbiran, serta Staf Residen Kolej (SRK) dalam usaha memastikan kesejahteraan kampus.

Program yang dilaksanakan di Bilik Latihan Staf ini sebagai usaha untuk memperkukuhkan keupayaan mereka sebagai barisan hadapan dalam menangani isu kesejahteraan mental pelajar dan rakan sekerja. Pendedahan tentang sumber dan rujukan profesional berkaitan kesihatan mental juga diberikan, di samping merancang penubuhan kumpulan sokongan Rakan AKRAB di setiap fakulti dan unit. Pengisian program dibahagikan kepada tiga sesi utama. Sesi pertama bertajuk “Memahami Kesihatan Mental” telah disampaikan oleh Cik Siti Zubaidah binti Abdul Majid, Pegawai Psikologi Kaunseling dari Pejabat Kesihatan Daerah Maran. Sesi kedua dan ketiga pula bertajuk “Teknik Komunikasi Berkesan” serta “Kemahiran Asas Kaunseling dan Roleplay” disampaikan oleh Encik Nasrullah bin Zainal Abidin, Pegawai Psikologi Kanan dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau.

Program ini turut dihadiri oleh Dr. Haji Mohd Kamal Azman bin Jusoh, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Puan Wan Noradila binti Wan Mohd Zain, Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling, Encik Mohammad Khair bin Mohd Seni, Timbalan Pendaftar Kanan, serta Encik Muhamad Naim bin Haji Jamaludin, Pegawai Psikologi Kanan.

Kehadiran peserta yang terdiri daripada pensyarah, staf pentadbiran dan SRK menunjukkan sambutan yang menggalakkan serta komitmen tinggi warga kampus terhadap usaha membina komuniti UiTM yang lebih peka dan prihatin terhadap isu kesihatan mental. Program ini bukan sahaja meningkatkan tahap literasi kesihatan mental dalam kalangan peserta, malah membuka ruang kerjasama antara unit dan jabatan dalam membentuk ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh. Secara keseluruhannya, program ini akan terus menjadi platform pemerkasaan psikososial kepada warga UiTM, di samping menyemarakkan usaha menjadikan kampus sebagai ruang yang lebih kondusif, menyokong dan sejahtera dari aspek mental dan emosi.