Program Bengkel Pendedahan STEM @ Agroteknologi, Laluan Kerjaya Saintis Dan Industri Tahun 2025, FPA UiTM Kampus Jasin

Jasin, 16 Jun 2025 – Satu Program Bengkel Pendedahan STEM @ Agroteknologi, Laluan Kerjaya Saintis Dan Industri Tahun 2025 bersama 183 murid Tingkatan 5 pelbagai aliran perdana Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Merlimau Melaka telah diadakan pada 17 April 2025 yang lalu bertempat di Dewan Kuliah B, Blok Kuliah, Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka, Kampus Jasin.

Ucapan Aluan Selamat Datang telah disampaikan oleh YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Nor Azma Yusuf, Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik FPA mewakili YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Fazleen Abdul Fatah yang menjalankan fungsi Dekan FPA. Turut sama hadir ke program ini YBrs. Puan Norhayati Binti Abdul Samad, Pengetua, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Merlimau Melaka dan YBrs. Encik Noor Asman Bin Md Jelas, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Teknik dan Vokasional, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka.

Pada sesi pagi, para pelajar yang hadir telah didedahkan tentang peluang-peluang pendidikan tinggi selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditawarkan oleh Fakulti Perladangan dan Agroteknologi oleh YBrs. Prof. Madya Ts. Dr. Nor Azma Yusuf.

Manakala pada sesi petang, pelajar telah diperkenalkan dengan pendidikan STEM @ Agroteknologi oleh Dr. Mohammad Feizal Daud, Pensyarah Kanan Agronomi. Para pelajar telah dibawa ke beberapa lokasi terpilih Makmal dan Bengkel Tujahan Bidang STEM @ Agroteknologi. Mereka telah diberi penerangan dan berpeluang berinteraksi secara lebih teknikal dengan pensyarah-pensyarah Fakulti ini mengikut bidang kepakaran sains, teknologi dan kejuruteraan masing-masing.

Program hari ini diakhiri dengan perkongsian prospek laluan kerjaya industri @ Agroteknologi yang disampaikan oleh Encik Muhammad Sukayadiy Bin Salim daripada Syarikat Crop Power Sdn Bhd.

Program Bengkel ini dianjurkan secara kolaborasi strategik Fakulti ini dengan Program Jelajah Pendidikan/Orientasi Kenegaraan (Karakter Dan Kerjaya) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Merlimau Melaka.