
IPOH, 27 Mei 2025 – Pelajar Program Pengajian Jarak Jauh (EPJJ) Pemulihan Cara Kerja, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berjaya melaksanakan Program Legasi Boomers Inspirasi Hari Ini di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Ipoh, melibatkan penyertaan seramai 40 orang penghuni pusat jagaan.
Program ini dirangka dengan objektif memperkasa kesejahteraan fizikal, kognitif dan emosi dalam kalangan warga emas, khususnya generasi baby boomers yang lahir antara tahun 1946 hingga 1964 dan memainkan peranan penting dalam sejarah pembangunan masyarakat.
Antara pengisian utama program termasuk penilaian geriatrik menggunakan instrumen Saint Louis University Mental Status Examination (SLUMS) dan SARC-F bagi menilai tahap kognitif serta risiko sarcopenia. Hasil penilaian ini menjadi asas kepada penyusunan aktiviti intervensi yang bersesuaian.


Aktiviti intervensi yang dijalankan merangkumi chairobic (senaman aerobik berkerusi) untuk meningkatkan pergerakan fizikal secara selamat, reality orientation bagi merangsang fungsi kognitif, serta terapi muzik sebagai sokongan psikososial yang memberi kesan positif terhadap kesejahteraan emosi peserta.
Pihak pengurusan Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta menyatakan penghargaan atas pelaksanaan program ini dan berharap agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan secara berkala memandangkan nilai terapeutik yang terbukti memberi manfaat kepada penghuni.
Program ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi sebagai pemangkin kesejahteraan komuniti melalui pendidikan berasaskan pengalaman, intervensi kesihatan dan pendekatan holistik terhadap penuaan sihat.
Oleh: Ahmad Syaffiq Bin Osthman
