
BATU KIKIR, 21 Jun 2025 – Seramai 30 pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, dengan kerjasama strategik TT Organics, telah berjaya melaksanakan program komuniti berimpak tinggi bertemakan “Lensa Hijau: Hijaukan Kebun, Segarkan Mata” di Kuarters Pertanian Serting, Batu Kikir.
Program ini merupakan inisiatif dua hala yang menggabungkan elemen pembangunan kebun komuniti lestari dan kesedaran kesihatan mata, khusus untuk meningkatkan kualiti hidup petani setempat. Ia dilaksanakan di bawah kerangka Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), yang menekankan penglibatan aktif pelajar dalam menyumbang ilmu dan kemahiran kepada masyarakat.
Antara pengisian utama program termasuk:
- Aktiviti berkebun bersama komuniti
- Perkongsian ilmu pertanian oleh wakil TT Organics
- Sesi “Eye Spa” dan pendidikan penjagaan mata
- Saringan kesihatan mata percuma oleh pegawai Optometri UiTM
Menurut wakil TT Organics, Cik Siti Baizura, program ini bukan sahaja memperkenalkan peserta kepada amalan pertanian organik dan prinsip kelestarian, malah memupuk semangat kerjasama antara pelajar dan komuniti.


Sesi “Eye Spa” yang dikendalikan oleh pelajar turut menjadi tarikan utama, di mana peserta diberi rawatan mata ringan sambil menerima penerangan tentang penjagaan dan kebersihan mata. Saringan mata percuma yang ditaja sepenuhnya oleh The Patriots turut memperluas akses komuniti kepada perkhidmatan kesihatan asas.
Penasihat program, Encik Mohd Izwan Bin Masngut dan Encik Megat Azman Bin Megat Mokhtar, menyatakan harapan agar inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluas ke komuniti lain. “Program ini bukan sahaja menyentuh aspek kesihatan dan pertanian, tetapi turut menyemai kesedaran tentang gaya hidup lestari dan peranan komuniti dalam mendukung kesejahteraan bersama,” ujar mereka.
Program ini mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkukuh jaringan universiti-komuniti melalui pendidikan berasaskan pengalaman, penyelidikan terapan dan perkongsian ilmu. Lensa Hijau: Hijaukan Kebun, Segarkan Mata menjadi penanda aras baharu dalam memperkasa komuniti secara holistik, selaras dengan aspirasi pembangunan mampan negara.
