
Seremban, 16 April 2025 – Persatuan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (BEVA), Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), UiTM Kampus Seremban, telah menganjurkan program “BEVA Sharing Session Talk: My Internship Experience 2.0” secara dalam talian melalui Microsoft Teams. Program ini dianjurkan oleh Exco Kebajikan, Kerohanian dan Perhubungan Luar BEVA bersama pelajar Semester 4 sebagai inisiatif memperkukuh pendedahan kerjaya dalam kalangan pelajar.
Sesi ini menjadi platform interaktif bagi pelajar Semester 6 dan alumni Program AM226 untuk berkongsi pengalaman latihan industri dalam pelbagai organisasi berteraskan industri hijau, di samping memberi panduan dan tips kepada pelajar Semester 5 yang bakal menjalani latihan industri bagi sesi Mac–Julai 2025.
Program dimulakan dengan taklimat oleh Dr. Farah Adilla Ab Rahman, Koordinator Latihan Industri FSPPP, yang menyentuh aspek persediaan dan etika semasa menjalani latihan industri. Panel jemputan terdiri daripada barisan pelajar senior dan alumni yang berpengalaman menjalani latihan di organisasi berkaitan kelestarian alam sekitar, menawarkan pandangan langsung tentang skop tugasan dan cabaran sebenar dunia pekerjaan.
Seramai 250 peserta telah menyertai program ini secara atas talian, termasuk pelajar dari pelbagai kampus UiTM, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaya (UM) dan pelajar-pelajar pra-universiti. Secara tidak langsung, platform ini turut mempromosikan Program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Alam Sekitar (AM226) kepada khalayak luar UiTM.
Program ini menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG4 (Pendidikan Berkualiti), SDG8 (Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi yang Baik), SDG12 (Kepenggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG17 (Perkongsian untuk Matlamat). Selain itu, ia turut menyumbang kepada pencapaian indikator institusi seperti PI029 (Program Kepimpinan) dan PI030 (Penyertaan Syarikat dalam Aktiviti Kerjaya).
