Cakna Seni dan Budaya dalam Kalangan Pelajar Rumah Kasih Bersama Mahasiswa UiTM Melaka

MELAKA, 18 April 2025 – Universiti Teknologi MARA Cawangan Melaka (UiTMCM) telah menganjurkan program cakna budaya bersama 70 anak-anak Rumah Kasih Tun Abdul Aziz (RKTAA Melaka) dalam suasana kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Program yang berjaya ini merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak di UiTMCM, termasuk pelajar Kelab EPiC (LG120), Akademi Pengajian Bahasa (APB), Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia UiTM Kampus Alor Gajah, Unit ICAN, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, serta rakan strategik MoU UiTMCM, Prym Consumer Malaysia Sdn. Bhd. (PRYM).

Ketua projek, Dr. Kuldip Kaur a/p Maktiar Singh dari APB, menjelaskan bahawa program ini bertujuan tidak hanya untuk meringankan beban anak-anak yatim melalui sumbangan, tetapi juga untuk menyantuni dan menceriakan mereka dengan pelbagai aktiviti budaya.

Pelbagai acara seni dan warisan telah diadakan, termasuk persembahan silat, tarian, dan nyanyian lagu raya oleh pelajar persatuan silat dan LG120. Selain itu, pelajar UiTM mengendalikan aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) seperti mewarna bertemakan Aidilfitri, membuat kraf gelang perhiasan, dan membina replika rumah impian menggunakan Lego, yang disesuaikan dengan peringkat umur anak-anak. Sesi “Bulatan Kasih” turut diadakan sebagai wadah bagi anak-anak meluahkan perasaan dan pandangan, memupuk keberanian, keyakinan diri, serta kemahiran berbicara di depan umum.

Para pelajar UiTM yang terlibat menyatakan program ini meningkatkan keprihatinan mereka terhadap komuniti yang memerlukan dan membentuk nilai-nilai murni dalam diri mereka.

Koordinator ICAN, Soo Yew Phong, menekankan bahawa inisiatif Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) ini memperkukuhkan hubungan UiTM dengan masyarakat melalui penglibatan aktif dalam amalan kemanusiaan, sekaligus memupuk kecemerlangan akademik dan pembentukan modal insan dalam kalangan mahasiswa.

Program diakhiri dengan penyerahan sumbangan berupa makanan, barang keperluan harian, hadiah, dan cenderahati daripada warga kampus UiTMCM kepada anak-anak Rumah Kasih, dengan harapan dapat mengubat kerinduan mereka dan memberikan keceriaan di hari raya. Diharapkan anak-anak RKTAA terus maju jaya dan sentiasa dilimpahi kasih sayang.

Penulis: Soo Yew Phong, Ijlal Binti Saja @ Mearaj