ZAWAF UiTM dianugerahkan “Best Zakat Management in Higher Education Institutions 2024” di dalam Global Islamic Finance Awards 2024 (GIFA 2024).

MALDIVES, 17 SEPTEMBER 2024 – Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa, Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah dinobatkan sebagai penerima anugerah “Best Zakat Management in Higher Education Institutions 2024” di dalam Global Islamic Finance Awards 2024 (GIFA 2024) yang berlangsung di Villa Nautica, Paradise Island, Republic of Maldives.

Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Profesor Madya Dr. Mohd Ashrof Zaki Yaakob hadir mewakili Naib Canselor Universiti Teknologi MARA bagi menerima anugerah tersebut. Turut mengiringi ialah Profesor Madya Dr. Azri Bhari (Pakar Rujuk ZAWAF & Timbalan Dekan HEP ACIS) yang turut hadir dalam majlis penganugerahan tersebut.

Anugerah ini diberikan kepada ZAWAF UiTM setelah dinilai bersama-sama 3 institusi lain daripada seluruh dunia berdasarkan metodologi penilaian yang telah ditetapkan oleh pihak urus setia Global Islamic Finance Awards. Penganugerahan ini memberikan pengiktirafan kepada UiTM dalam pengurusan dana zakat terbaik di institusi pengajian tinggi yang dilaksanakan dengan telus, bersistematik dan efisien berdasarkan objektif Maqasid Syariah dan menepati Sustainable Development Goals (SDGs).

Program Global Islamic Finance Awards 2024 (GIFA 2024) ini berlangsung bersama dengan program Global Islamic Finance Summit 2024 (GIFS 2024) yang dianjurkan oleh Cambridge IFA dengan kerjasama Maldives Islamic Bank dengan melibatkan pengurus industri kewangan Islam dan dana kewangan sosial Islam daripada seluruh dunia. Persidangan ini bertemakan Islamic Finance in A Digital Landscape – Innovation and Sustainability, dengan memfokuskan cabaran-cabaran masa hadapan dalam industri kewangan Islam dunia.

Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak Pegurusan Tertinggi UiTM atas segala sokongan yang diberikan, dan juga kepada seluruh warga UiTM yang sentiasa tanpa jemu memberikan sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF).