Persatuan Mahasiswa Teknologi Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Himpunan Mahasiswa Teknik Pertanian, Fakultas Teknologi Pertanian, Universiti Andalas (UNAND) telah menganjurkan ‘Youth Environmentalist Seminar’ (YES) 2020 pada 10 Februari 2020 bertempat di Bilik Seminar Perpustakaan UNAND.
Antara objektif program ini adalah bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pengalaman berkenaan usaha dan penglibatan mahasiswa terhadap isu-isu alam sekitar yang bertemakan Peranan Pemimpin Muda di dalam menjayakan ‘Sustainable Development Goals’ (SDG).
Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Ir. Feri Arlius, M.Sc, Dekan Fakultas Teknologi Pertanian. Beliau mengalu-alukan kerjasama dikalangan mahasiswa dari kedua-dua buah universiti.
Seminar ini dimulai dengan dua syarahan jemputan iaitu Dr. Eng. Muhammad Makky dari UNAND yang berkongsi bicara berkaitan kelapa sawit dan alam sekitar. Manakala Dr Nik Azlin Nik Ariffin, Koordinator Program Kimia Forensik dan Persekitaran dari UiTM yang berbincang tentang kajian radionuklik di stesen janakuasa elektrik.
Pembentangan poster penyelidikan mahasiswa UiTM dan UNAND turut diadakan bagi berkongsi dapatan kajian masing-masing kepada peserta seminar yang hadir. Sesi seminar YES 2020 diakhiri dengan forum dari kalangan pemimpin mahasiswa UiTM dan UNAND.
Menurut Saudara Iqbal Thaqif bin Rozali selaku Pengarah Program, seminar ini adalah lanjutan siri seminar yang setiap tahun dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Teknologi Persekitaran, UiTM. Bezanya, tahun ini dilaksanakan di luar negara dengan kerjasama mahasiswa UNAND.