YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dilantik Naib Canselor UiTM yang baharu

SIARAN AKHBAR

YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dilantik Naib Canselor UiTM yang baharu

Shah Alam, Feb 14, 2019 — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini telah mengumumkan pelantikan YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang baharu untuk tempoh 3 tahun berkuat kuasa 15 Februari 2019 hingga 14 Februari 2022. Beliau mengambil alih tugas yang sebelum ini disandang oleh YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said yang telah memegang jawatan tersebut bermula Februari 2016 hingga Januari 2019.

YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim memiliki kelulusan PhD dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar dari University of Newcastle, Sarjana Sains Kejuruteraan Kesihatan Awam serta Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari University of Manchester Institute of Science and Technology (UMIST), United Kingdom.

YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim telah berkhidmat bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak tahun 1983 dengan memegang pelbagai jawatan baik di peringkat Fakulti Kejuruteraan Awam mahupun jawatan kanan UTM seperti:

  • Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) – 7 Disember 2000 hingga 6 Disember 2003
  • Dekan School of Professional and Continuing Education (SPACE) – 12 Januari 2004 hingga 29 Februari 2008
  • Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) – 1 April 2009 hingga 15 Januari 2012
  • Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) – 16 Januari 2012 hingga 15 Januari 2015
  • Pengarah Urusan dan CEO UTMSPACE – 1 Februari 2015 sehingga kini.

Selain daripada kerjaya akademiknya yang cemerlang, Prof. Mohd Azraai juga merupakan ahli kepada beberapa badan profesional seperti Malaysian Society for Engineering & Technology (MySET), International Water Association (IWA) United Kingdom, Environmental Management and Research Association of Malaysia (ENSEARCH), Environmental Professionals Register of Malaysia (EPRM), Registered Professional Engineer, Board of Engineers Malaysia (BEM), Registered ASEAN Chartered Professional Engineer (ACPE) dan Harvard Business School Alumni Club of Malaysia, beliau juga merupakan Felo di Institution of Engineers Malaysia (IEM).

Saya mengambil kesempatan ini mewakili seluruh warga UiTM mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hassan Said yang selama 3 tahun ini telah memegang dan memimpin tampuk UiTM dengan penuh dedikasi, setia, disiplin, komited dan jayanya sebagai Naib Canselor. Beliau sememangnya seorang pemimpin yang berkredibiliti dalam memajukan dan memperkasa agenda bangsa tanpa kenal erti putus asa.

Seluruh warga universiti amat berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan YBhg. Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu. Semoga dengan pelantikan ini, visi dan misi UiTM untuk menjadi sebuah universiti unggul yang cemerlang serta menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional di Malaysia dan antarabangsa akan terus diperkasakan

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah sebuah universiti awam dengan pusat pentadbirannya di Kampus Utama Shah Alam, Selangor. Ia telah ditubuhkan pada tahun 1956 dengan tujuan utama untuk mempertingkatkan keilmuan dan kepakaran bumiputera dalam semua bidang. Semenjak dari itu, ia telah berkembang pesat dan sehingga ke hari ini UiTM adalah sebuah universiti yang terbesar di Malaysia dari segi infrastruktur fizikal, gagasan staf (pentadbiran, sokongan dan akademik) dan jumlah enrolmen pelajar. Maklumat lanjut http://www.uitm.edu.my/

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Bahagian Canseleri dan Komunikasi Korporat UiTM Shah Alam di talian 03-55442102 atau Koordinator Perhubungan Media UiTM, Firdaus Abd Hanan 0355442066/0122048507 (firdaus.hanan@salam.uitm.edu.my)

0
0