Shah Alam, 7 April 2023 – YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, telah mengadakan lawatan rasmi ke UiTM sempena sesi dialog bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM se-Malaysia pada 7 April 2023 bertempat di Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Tujuan utama sesi dialog ini diadakan adalah untuk memberi platform komunikasi dua hala antara YAB Perdana Menteri dan pemimpin pelajar dalam mengutarakan isu-isu terkini yang dihadapi oleh mahasiswa UiTM. Turut hadir dalam sesi dialog ini ialah YBhg. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi), YBhg. Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar (Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi), YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Raduan Che Rose (Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti) dan YBhg. Prof. Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor (Naib Canselor).
Sesi dialog yang berlangsung selama lebih kurang satu jam ini telah dikelolai oleh Saudara Mohamed Yusuf Hassan Roslan, Yang Dipertua MPP UiTM. Antara isu utama yang telah dikupas ketika sesi dialog ini termasuklah isu bantuan e-dompet kepada mahasiswa IPTA/IPTS dan isu tiket penerbangan pelajar Sabah dan Sarawak. Semasa sesi dialog ini berlangsung, YAB Perdana Menteri telah membuat keputusan bagi membolehkan bantuan e-dompet memanfaatkan semua mahasiswa IPTA/IPTS tanpa mengira had umur. Selain itu, kerajaan akan memutuskan agar tiket penerbangan pelajar Sabah dan Sarawak diberikan kuota khas bagi membendung masalah tiket yang terlalu mahal yang perlu ditanggung oleh mahasiswa IPTA/IPTS. Dalam pada itu, lawatan YAB Perdana Menteri ke UiTM ini telah mendapat liputan media seperti Astro Awani, Berita Harian, Sinar Harian, Utusan, malaymail dan sebagainya.
Sesi dialog seperti ini dapat memberikan nafas baharu dalam tampuk kepimpinan MPP UiTM kerana ia sejajar dengan hasrat KPT dalam memperkasakan mahasiswa. Dengan itu, pemimpin pelajar akan terdedah dengan pentadbiran universiti seterusnya dapat memberi pandangan dan cadangan dalam mewujudkan tadbir urus universiti yang lebih efisien, progresif dan produktif. Pentadbiran yang telus menjadi wadah pembangunan universiti yang lestari. Oleh itu, UiTM akan sentiasa bekerjasama dengan MPP UiTM dalam menjaga kebajikan dan keperluan pelajar.