X.O.X@Decathlon anjuran Pelajar PJK Fakulti Pendidikan Promosikan Aktiviti dan Gaya Hidup Sihat kepada Pengunjung

X.O.X@Decathlon anjuran Pelajar PJK Fakulti Pendidikan Promosikan Aktiviti dan Gaya Hidup Sihat kepada Pengunjung
Senamrobik XOX dan aktiviti memanah untuk pengunjung

Pada 30 November 2019 yang lalu, seramai 28 pelajar semester 5,  Program Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dengan Kepujian (ED246), Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK), Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor telah menjayakan program X.O.X@Decathlon dengan kerjasama Decathlon Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan sebahagian keperluan kerja kursus bagi kursus Pendidikan Pergerakan (SED612) di samping memberi pendedahan kepada pelajar untuk membentuk kemahiran pedagogi khususnya dalam mengajar topik pergerakan dan permainan.

X.O.X@Decathlon anjuran Pelajar PJK Fakulti Pendidikan Promosikan Aktiviti dan Gaya Hidup Sihat kepada Pengunjung
Sebahagian daripada aktiviti sukan dan kecerdasan yang ditawarkan kepada pengunjung

Program X.O.X ini atau juga dikenali sebagai Extra Ordinary Exercise telah bermula pada tahun 2013 memfokuskan kepada penglibatan komuniti secara menyeluruh. Bermula tahun 2016, program ini dikenali sebagai X.O.X: School Attack. Ini sejajar dengan sasaran program yang melibatkan pelajar sekolah bagi menepati objektif yang lebih spesifik iaitu membentuk murid yang cergas dan cerdas melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti permainan yang bersifat mendidik domain kognitif, psikomotor dan afektif mereka.

Namun begitu, bersempena dengan cuti sekolah X.O.X kali yang ke 14 ini mensasarkan kanak-kanak dan ibu bapa yang mengunjungi Decathlon Jalan Klang Lama. Pelbagai aktiviti fizikal telah dilaksanakan sebagai pengisian XOX@Decathlon ini. Selain senamrobik, para pengunjung turut berpeluang beraksi di dalam permainan-permainan yang telah diubah suai mengikut keperluan umur dan persekitaran tetapi masih mengekalkan elemen kecergasan fizikal berasaskan kesihatan dan lakuan motor.