Sinergi antara Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) dan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) UiTM Cawangan Pulau Pinang telah membawa gema World#Quran Hour di kampus tersebut pada 13 Mei yang lepas. Menurut Timbalan Ketua Pustakawan PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, Hayati Mokhtaram, program ini secara langsung turut menyokong aktiviti penggiatan budaya membaca dalam kalangan warga kampus.
Beliau juga memaklumkan bahawa program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga kampus dan disertai hampir 200 orang peserta secara langsung melalui aplikasi Google Meet. Ia turut diserikan dengan kehadiran Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang, Prof. Dr. Salmiah Kasolang@Kasalung serta barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri dalam usaha menyebarluaskan misi berinteraksi dengan Al-Quran.
Melalui ucapan oleh Prof. Dr. Salmiah, beliau berharap agar program sebegini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan di UiTM Cawangan Pulau Pinang kerana ia memberi manfaat serta impak yang besar kepada warga kampus supaya dapat mendampingi Al-Quran, membaca, memahami dan menghayati ayat Al-Quran seterusnya dapat mengamalkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan seharian. Disamping itu, ianya juga dapat membantu setiap individu dalam melakukan transformasi ke arah kecemerlangan diri dan kehidupan yang lebih baik.
Pada tahun ini, World#Quran Hour membawa misi Surah Ar-Rahman sebagai solusi membina rasa syukur dan mengembalikan keharmonian global dalam kalangan umat Islam walaupun berhadapan dengan ujian pandemik Covid-19. Bacaan surah tersebut telah dipimpin oleh Ustaz Mohd Khairuddin Md Sul Haimi dan Ustaz Mohd Izlan Abdul Halik manakala kupasan tentang ayat tersebut telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Adenan Mohd Yusoff daripada Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Pulau Pinang.