World Planting Day Rangsang Kelestarian Dan Pemuliharaan Hidupan Darat

Penerokaan hutan untuk tujuan pertanian dan pembangunan telah banyak mengakibatkan masalah kepada keseimbangan ekosistem alam dan juga perubahan iklim. Penebangan hutan secara meluas tanpa kawalan  turut menyebabkan penyusutan saiz dan juga jumlah hutan yang sepatutnya dikekalkan untuk kelestarian hidupan di darat. Di Malaysia, terdapat banyak kes hakisan tanah, pemendapan dan juga kerosakan cerun yang membawa kepada berlakunya tanah runtuh kesan daripada penerokaan tanah dan hutan secara tidak lestari. Selain menjejaskan hidupan di darat, penerokaan hutan di kawasan tadahan air juga akan mengakibatkan pencemaran kepada sumber bekalan air bersih. Menurut perincian daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam laporannya pada tahun 2019, sebanyak 13 juta hektar hutan lenyap setiap tahun kesan daripada aktiviti manusia sekaligus turut menyumbang kepada perubahan iklim dunia.

Selaras dengan permasalahan tersebut, UiTM Cawangan Pahang telah mengambil inisiatif dengan memberikan fokus kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG30) yang menepati SDG-15 iaitu kelestarian kehidupan di darat. Pada 21 Mac 2019, Fakulti Perladangan dan Agroteknologi (FPA), UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan program World Planting Day. Program ini dikendalikan dengan kerjasama Unit Pengurusan Ladang (UPL), UiTM Cawangan Pahang. Program ini memfokuskan penanaman tanaman citrus. Tiga spesies citrus telah dipilih dan ditanam semasa program ini iaitu Citrus limon (lemon), Citrus aurantifolia (limau nipis) dan Citrofortunella microcarpa (limau kasturi). Pemilihan tiga spesies ini bagi merealisasikan perancangan Fakulti Perladangan dan Agroteknologi dan Unit Pengurusan Ladang untuk mewujudkan Citrus Valley di UiTM Pahang. Citrus Valley menjadi agenda utama dalam pemilihan pokok sempena World Planting Day berdasarkan nilai komersial yang ada pada setiap spesies citrus. Konsep ini turut dipilih kerana kepentingannya kepada alam sekitar serta kesesuaiannya dengan iklim negara kita.

Citrus limon dipilih kerana sifat antiseptik dan sering digunakan dalam bidang perubatan tradisional, masakan dan perisa.  Citrus limon kaya dengan vitamin C, membuatkan ia sering digunakan dalam pelbgai jenis masakan seperti puding, koktails, lemonade. Jusnya juga kaya dengan asid sitrik, lebih banyak berbanding jus limau nipis, jus anggur dan jus oren. Minyak Citrus limon pula banyak digunakan dalam bidang aromaterapi. Citrus aurantifolia pula merupakan tumbuhan yang buahnya sering dijadikan minuman dan dicampur dalam masakan sebagai perisa. Citrus aurantifolia kaya dengan vitamin A, vitamin C dan asid sitrik. Selain itu, ianya turut berkesan dalam mengatasi masalah kelemumur dan masalah bau badan. Penggunaannya juga popular dikalangan pengamal perubatan tradisional. Buah Citrus microcarpa juga sering dijadikan sebagai minuman kerana dipercayai mampu menyejukkan badan dengan berkesan. Buah yang kaya dengan vitamin C ini juga sering digunakan dalam masakan.

Bagi program ini, sebanyak 40 anak pokok Citrus microcarpa, 10 anak pokok Citrus limon dan 20 anak pokok Citrus aurantifolia telah ditanam di kawasan yang telah digazetkan sebagai Citrus Valley. Selain ditanam atas nilai komersial, spesies ini turut dipilih berdasarkan peranannya dalam mengekalkan ekosistem terutamanya di UiTM Cawangan Pahang. Pokok yg merimbun boleh memberi naungan kepada pelbagai hidupan lain. Akar pokok citrus ini juga mampu menyokong tanah dan seterusnya mengurangkan masalah hakisan tanah. Penanaman ini membantu dalam memulihara alam sekitar. Aktiviti penanaman yang melibatkan seramai lebih kurang 150 peserta (pelajar, pensyarah dan kakitangan Unit Pengurusan Ladang) diharap dapat memupuk kesedaran dalam diri setiap peserta akan kepentingan penanaman pokok terhadap alam sekitar. Selain itu, program ini turut menjadi asas dalam mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan.