PUNCAK ALAM – Persatuan Pelajar Pemulihan Cara Kerja (OTSA) Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah menganjurkan program World Occupational Therapy Day (WOTD) 2024 pada 17 dan 19 Oktober 2024.
Program dwi-platform yang melibatkan sesi dalam talian dan bersemuka ini telah menarik sebanyak 900 peserta dalam talian dan 178 peserta bersemuka. Ia mensasarkan untuk menyambut Hari Terapi Cara Kerja Sedunia dengan mengumpulkan pakar-pakar bidang Pemulihan Cara Kerja dari Malaysia dan Indonesia.
Sesi dalam talian pada 17 Oktober menerusi platform Microsoft Teams menonjolkan forum bertajuk “Breaking Barriers: Inclusive Approaches in OT for All Ages and Abilities”. Panel jemputan termasuk Nurul Nadhirah dari UiTM, Puan Aina Najihah dari Pusat Pakar Psikologi Jiwa Damai, Encik Muhammad Luthfi dan Regan Christian Kilapong dari Universitas Indonesia.
Pada sesi bersemuka 19 Oktober, acara tersebut turut mengadakan majlis penyampaian hadiah kepada 20 pemenang kuiz harian yang diadakan antara 9 hingga 11 Oktober 2024. Selain itu, pameran booth yang dijalankan memperlihatkan pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan deria, aktiviti kraftangan, dan penilaian kesihatan.
Pengarah program, Muhammad Haziq bin Muhammad Razelan, menyatakan program ini bukan sekadar satu sambutan, malah platform untuk memperkukuh hubungan profesional dan mengembangkan kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa Pemulihan Cara Kerja.
Program yang dijalankan di bawah tema “Occupational Therapy for All” ini berjaya memberi pendedahan tentang peranan jurupulih cara kerja merentasi pelbagai peringkat umur dan keperluan.
Penulis : MUHAMMAD HAZIQ BIN MUHAMMAD RAZELAN