Seri Iskandar, 10 Jun 2024 – Jabatan Seni Reka Fesyen UiTM Seri Iskandar telah berjaya menganjurkan satu bengkel berjudul “Fashion Design Workshop: The Fundamentals of Fashion Design” dengan kerjasama Kolej Komuniti Raub, Pahang. Acara ini melibatkan seramai 38 peserta yang terdiri daripada pelajar Diploma Seni Reka Fesyen. Bengkel ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan mendalam mengenai cara-cara membuat buku kajian (researchbook) melalui pelbagai kaedah kajian dan inspirasi. Ini diharap dapat membantu peserta memahami proses kajian yang menyeluruh dan seterusnya menghasilkan rekaan fesyen yang lebih ideal dan kreatif.
Tiga penceramah berpengalaman telah diundang untuk menyampaikan ilmu mereka dalam bengkel ini, iaitu Pn Nasyirah Salleh, Dr Zainudin Md Nor, dan En Muhammad Khalik Mustafa. Mereka berkongsi pengalaman dan pengetahuan berharga mengenai teknik-teknik kajian yang efektif dan cara-cara menghasilkan rekaan fesyen yang inovatif.
Bengkel ini adalah peluang yang baik untuk para pelajar mendalami proses kajian yang penting dalam industri fesyen. Pengetahuan ini bukan sahaja membantu mereka dalam menghasilkan rekaan yang lebih baik, tetapi juga mempersiapkan mereka untuk cabaran dalam dunia pekerjaan kelak.Melalui bengkel ini, para pelajar didedahkan dengan pelbagai sumber inspirasi yang boleh digunakan dalam menghasilkan rekaan fesyen bermula dari asas kepada “market value” dan “Fashion Trend”. Bengkel ini adalah platform terbaik untuk para pelajar berkongsi idea dan mendapat bimbingan terus dari penceramah berpengalaman. Pengalaman ini akan menjadi batu loncatan bagi mereka dalam mengembangkan bakat dan kerjaya dalam industri fesyen.”
Bengkel “Fashion Design Workshop: The Fundamentals of Fashion Design” yang dianjurkan oleh Jabatan Seni Reka Fesyen UiTM Seri Iskandar dengan kerjasama Kolej Komuniti Raub Pahang telah berjaya mencapai objektifnya dalam memberikan pengetahuan mendalam tentang proses kajian dan rekaan fesyen kepada para peserta. Melalui bimbingan penceramah berpengalaman, para pelajar dapat mempelajari teknik-teknik kajian yang berkesan dan cara-cara untuk menghasilkan rekaan fesyen yang inovatif. Dengan minat dan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta, diharapkan bengkel ini dapat menjadi platform yang berterusan untuk memupuk bakat dan kreativiti dalam industri fesyen, serta membantu mereka dalam menghadapi cabaran di masa hadapan.