Puncak Alam – Program What’s Wrong with Being Confident telah berjaya dijalankan secara atas talian oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam. Kehadiran Encik Muhammad Hafiz Jalani selaku penceramah telah berkongsi pelbagai tips yang berguna berkaitan dengan keyakinan diri dan program ini telah mendapat sambutan hangat daripada para mahasiswa dengan penyertaan seramai 421 orang peserta . Tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk meningkatkan keyakinan diri mahasiswa dalam pengucapan awam seterusnya dapat membantu mempersiapkan diri sebelum memasuki alam kerjaya. Selain itu, program ini juga telah memberi pendedahan mengenai cara untuk membina jati diri agar lebih berani kehadapan dan bersuara serta lebih terbuka dalam menerima pendapat orang lain.
Program yang berdurasi hampir dua jam ini telah memberi kesan positif kepada para peserta. Berdasarkan maklum balas, program ini ternyata memberi pengetahuan megenai kriteria yang perlu ada dalam diri peserta untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih tinggi, menambah keyakinan dalam berkomunikasi serta memberi panduan agar lebih berani untuk bersuara di khalayak ramai. Tambahan lagi, peserta juga dapat mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh daripada program ini dalam kehidupan seharian. Konklusinya, melalui program webinar ini, para peserta mendapat pelbagai ilmu bermanfaat serta meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri mereka