21 Jun 2024 – Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang sekali lagi telah berjaya melaksanakan satu sesi perkongsian bersama Profesor Dr. Mikhail A. Sheremet daripada Tomsk State University, Rusia secara atas talian yang bertajuk Webinar “Unlocking Global Opportunities: Mastering International Grants, High-Impact Publications, and Citation Growth”. Tujuan webinar ini dijalankan adalah bagi menyediakan peserta dengan pemahaman yang komprehensif tentang proses, keperluan dan strategi untuk mendapatkan pembiayaan penyelidikan antarabangsa, membimbing penyelidik tentang cara menerbitkan karya mereka dengan berkesan dalam jurnal berimpak tinggi, meningkatkan keterlihatan dan kredibiliti akademik mereka serta mendidik peserta tentang strategi yang berkesan untuk meningkatkan “citation” bagi menuskrip penyelidikan yang diterbitkan mereka.
Sesi webinar pada kali ini telah dihadiri oleh seramai 148 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah UiTM Cawangan seluruh Malaysia, ahli akademik dari beberapa buah universiti di Malaysia dan juga pelajar lepasan ijazah daripada beberapa buah universiti di dalam dan luar negara. Turut hadir pada webinar ini ialah Profesor Madya Dr. Hjh Nazirah Ramli, Timbalan Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Pahang yang telah memberi ucapan aluan pada awal sesi webinar ini berlangsung. Sesi webinar ini telah dikendalikan oleh Dr. Nor Fadhilah Dzulkifli sebagai Pengarah Program, En. Nik Muhammad Farhan Hakim bin Nik Badrul Alam sebagai pemudah cara dan Dr. Nurul Nadiya Abu Hassan sebagai Moderator.
Secara keseluruhan, peserta telah memberikan respon yang positif sepanjang sesi perkongsian ini berlangsung. Mereka juga menunjukkan minat yang mendalam pada topik yang dibincangkan oleh Prof. Sheremet dengan mengajukan pelbagai soalan pada akhir sesi. Maklum balas yang diterima termasuk pujian terhadap webinar ini yang memberikan input berguna, terutama dengan kehadiran penceramah yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang penyelidikan. Diharapkan webinar ini telah dapat mencapai sasaran dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan UiTM pada masa akan datang.