Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah menganjurkan satu webinar taklimat percukaian individu bagi pengisian borang cukai taksiran tahun 2022 pada 2 Mac 2023 bermula pada pukul 9 pagi menggunakan medium atas talian Webex. Webinar ini bukan sahaja disertai warga UiTM malah perkongsian mengenai percukaian individu ini turut disertai dari komuniti luar agar perkongsian ini dapat membantu para peserta dalam memahami secara jelas tentang kepentingan cukai dan pelepasan rebat cukai terkini yang layak dituntut serta pendedahan cara mengisi borang percukaian individu secara atas talian melalui MyTax. Program khidmat masyarakat ini telah memenuhi SDG 4: Pendidikan Berkualiti untuk membantu warga UiTM dan komuniti luar dalam memberi pendedahan dan menguruskan hal-ehwal percukaian individu.
Moderator webinar ini telah dikendalikan oleh Puan Junaidah Jamaluddin dan taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Muhammad Assif Abdullah dan turut dibantu oleh pegawai-pegawai Bahagian Latihan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Pahang. Encik Muhammad Assif Abdullah juga merupakan alumni Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang dari program Diploma Perakaunan (AC110) dan juga Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (AC220).
Sambutan yang diberikan oleh peserta-peserta webinar ini sangat memberangsangkan dimana jumlah penyertaan adalah seramai 1015 orang peserta. Sepanjang webinar ini berlangsung, Encik Muhammad Assif Abdullah dan pegawai –pegawai Bahagian Latihan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Pahang turut menjawab persoalan yang berkaitan hal –ehwal percukaian individu secara langsung dan juga di ruang-bual medium atas talian Webex. Selain itu, pihak LHDN Cawangan Pahang turut memajukan alamat emel mereka sekiranya para peserta memerlukan penjelasan lebih lanjut.
Dengan terlaksananya aktiviti ini, Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Pahang telah memenuhi beberapa Performance Index universiti, iaitu PI84 – Number of University Social Responsibility programmes (USR), PI88 – Number of communities receiving/benefiting from the knowledge/technology diffusion projects dan PI89 – Number of alumni expert service programme.
Ucapan penghargaan tidak terhingga diberikan kepada pihak LHDN Cawangan Pahang yang sentiasa bekerjasama dengan Fakulti Perakaunan Cawangan Pahang dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai individu. Sekalung tahniah juga turut diucapkan kepada Ketua Pusat Pengajian Perakaunan UiTM Cawangan Pahang, Dr. Mohamad Azmi Nias dan pengarah program Puan Anis Barieyah serta rakan-rakan fakulti yang telah berusaha keras dalam menjayakan taklimat percukaian individu tahun ini.