Webinar Suku Tahun Pertama UiTM-ITB-ITS: Pasca Pandemik Covid-19 Kerjasama Awam Swasta/Inisiatif Kewangan Swasta di Malaysia dan Indonesia

Shah Alam – Pusat Pengajian Ukur Bahan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam bersama rakan kolaborasi dari negara jiran Indonesia, Institut Teknologi Bandung (ITB) dan Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) telah menganjurkan satu webinar atas talian yang bertajuk ‘1st Quarterly UiTM-ITB-ITS Webinar: Post Covid-19 Pandemic Public Private Partnership/Private Finance Initiative in Malaysia and Indonesia’.

Webinar ini diadakan pada 3 November 2021 pada jam 0900 (waktu Malaysia) dan jam 0800 (waktu Indonesia). Menampilkan empat ilmuwan daripada kedua-dua negara jiran, Prof. Dr. Eng. Pradono, Prof. Sr Dr. Khairuddin Bin Abdul Rashid, Dr. Ir. Eko Budi Santoso dan Dr. Ir. Binsar Parasian Naipospos sebagai penceramah yang membentangkan tajuk-tajuk berkaitan kerjasama sama awam swasta dalam sektor pembinaan. Webinar ini disertai oleh 300 peserta terdiri daripada pelajar, staf, pemain industri pembinaan menyertai program ini menerusi aplikasi ZOOM. Program webinar dimulakan dengan kata-kata aluan dan perasmian oleh Dekan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Prof. TPr Dr. Jamalunlaili Abdullah.

Penceramah pertama, Prof. Dr. Eng. Pradono dari Institut Teknologi Bandung (ITB) membentangkan tajuk berkaitan ‘Public Private Partnership in Indonesia after Pandemic’. Ujar beliau, “PPP di Indonesia meliputi 19 sektor iaitu, Pengangkutan, Jalan raya, Elektrik, Minyak Gas dan Tenaga boleh diperbaharui, Penjimatan Tenaga, Telekomunikasi dan Informasi, Bekalan Air, Pengurusan Sisa Air domestik, Pengurusan Berpusat Sisa Air, Perumahan Rakyat, Pengurusan Sisa Buangan, Sumber Air dan Perparitan, Fasiliti Bandar, Pelancongan, Fasiliti Pendidikan, Fasiliti Sukan, Seni dan Budaya, Kesihatan, Zon Teknologi dan Kawalan Jenayah. Pasca Pandemik Covid-19, skim PPP memperkukuhkan lagi pembangunan infrastruktur di Indonesia dengan penyertaan daripada pihak swasta. Tambahan, Kerajaan Indonesia menggalakkan sistem kewangan kreatif seperti ‘State Shariah Securities (SBSN)’ dan ‘Sovereign Wealth Fund (SWF)’ untuk mengurangkan kebergantungan kepada sistem konvesional.

Program diteruskan dengan pembentangan oleh Prof. Sr Dr. Khairuddin Bin Abdul Rashid dari UiTM Shah Alam, mengenai tajuk ‘An Overview of Malaysia’s Public Private Partnership / Private Finance Initiative within the context of the COVID-19 Pandemic’. Beliau menerangkan latar belakang polisi, projek-projek dan evolusi PPP dan PFI di Malaysia. Sepanjang pematuhan SOP Covid-19, kebanyakan projek pembinaan terkesan, namun peruntukan tambahan masa oleh Kerajaan Malaysia membantu meringankan beban pemain industri. Tambah beliau lagi, “Prospek untuk PPP di masa akan datang adalah lebih baik kerana PPP 3.0 terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang menitikberatkan elemen mampan dalam sektor pembangunan.

Penceramah ketiga, Dr. Ir. Eko Budi Santoso dari Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) membentangkan tajuk ‘Current Status of Public Private Partnership Infrastructure Development in East Java Indonesia’. “Surabaya (Kepulauan Jawa Timur) merupakan bandar kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta, pembangunan infrastruktur merupakan fundamental. Pada masa ini, tiga projek yang menggunakan skim PPP iaitu, Projek Bekalan Air Umbulan di Pasuruan, Jana Kuasa Sisa Pepejal Benowo di Surabaya dan Projek Lapangan Terbang Kediri” ujar beliau.

Penceramah terakhir, Dr. Ir. Binsar Parasian Naipospos dari Institut Teknologi Bandung (ITB) membentangkan tajuk ‘Post Pandemic Public Private Partnership Resilient Index for Project in West Java’. Beliau menerangkan skim PPP sebagai satu alternatif terbaik untuk peruntukan bajet kepada pembangunan infrastruktur di kala Kerajaan Indonesia masih memfokus kepada bajet untuk menangani Covid-19. “Kami mendapati projek ‘PPP Grater Bandung Metropolitan Railway’ adalah prospektif terbaik projek pemulihan dalam fasa selepas pandemic Covid-19” ujar beliau dalam mengakhiri pembentangannya.

Pada akhir webinar, Ketua Program Pusat Pengajian Ukur Bahan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Sr Dr. Shamsida Saidan Khaderi memberi ucapan penutup dan berterima kasih kepada panel jemputan dan peserta yang menjayakan program webinar dua negara ini. Moderator webinar, Puan Suzana C. Alih menamatkan program pada jam 12 tengah hari waktu Malaysia.