Webinar Siri Pemantapan Keibubapaan : Penilaian Awal Masalah Perkembangan Anak Bersama Ahli Psikologi Klinikal

Pada 12 Ogos 2021, Unit Perkhidmatan OKU UiTM (UPO) telah mengadakan Webinar Siri  Pemantapan Keibubapaan melalui platform Youtube UiTM Channel. Webinar ini adalah dengan kerjasama Jabatan Komunikasi UiTM, Kizzu Kids Therapy Center dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

UPO telah menjemput Ahli Psikologi Klinikal dari Kizzu Kids Therapy Center iaitu Cik Nur Ain Amalina Binti Ab Aziz untuk memberikan taklimat bertajuk Penilaian Awal Masalah Perkembangan Anak Bersama Ahli Psikologi Klinikal. Program dimulakan pada jam 10.30 pagi dengan khidmat Juru Bahasa Isyarat Puan Zuraidah, Cik Goh dan Dr Adrian dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).  Cik Nur Ain Amalina memulakan taklimat dengan memberi pengenalan kepada panduan ibubapa untuk pembangunan anak. Ibubapa juga diberi pendedahan dalam memahami perkembangan psikologi bermula dari bayi sehingga 5 tahun dan kaedah untuk menyediakan kemahiran dalam mengukuhkan perhubungan antara ibubapa dan anak.

Program ini telah menerima penyertaan secara langsung seramai 413 orang terdiri dari warga UiTM mahupun orang awam. Setelah sesi penerangan, program diteruskan dengan sesi soal jawab bersama penceramah dan berakhir pada jam 12.30 tengahari. Semoga sesi kali ini dapat memberi informasi dan ilmu pengetahuan yang bermanfaat buat semua warga UiTM dan masyarakat luar.