Webinar Sesi Perkongsian Bidang Penyelidikan Prof. Dr. Mikhail A. Sheremet, Profesor Pelawat KPPIM, UiTM Pahang

29 Februari 2024 – Satu sesi perkongsian bersama Profesor Dr. Mikhail A. Sheremet daripada Universiti Tomsk Rusia anjuran Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik (KPPIM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang telah berjaya dilaksanakan secara atas talian. Prof. Sheremet adalah merupakan “Virtual Visiting Professor” atau Profesor Pelawat secara maya di KPPIM UiTM Cawangan Pahang yang telah dilantik sejak 1 Julai 2023 yang lalu. Pelantikan beliau sebagai Profesor Pelawat ini adalah atas kapasiti beliau yang memiliki kemahiran khusus dalam bidang penyelidikan beliau. Lantikan Profesor Pelawat Antarabangsa ini adalah salah satu cara untuk memperkenalkan UiTM di peringkat antarabangsa dengan jalinan aktiviti yang merangkumi penyelidikan dan penerbitan. Oleh itu, tujuan sesi perkongsian ini diadakan adalah bagi memberi peluang kepada Prof. Dr. Mikhail A. Sheremet untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bidang penyelidikan beliau kepada seluruh warga UiTM, ahli akademik dari universiti lain di Malaysia dan juga kepada pelajar khususnya pelajar lepasan sarjana dalam bidang berkaitan.

Seramai 144 orang peserta telah menyertai sesi perkongsian tersebut iaitu terdiri daripada pensyarah UiTM Cawangan seluruh Malaysia, ahli akademik dari beberapa buah universiti di Malaysia dan juga pelajar lepasan ijazah daripada beberapa buah universiti di Malaysia. Sesi perkongsian yang bertajuk “Numerical Simulation of Mixed Convection Flow in Rectangle and Wavy Channels” ini telah dikendalikan oleh Dr. Nor Fadhilah Dzulkifli sebagai Pengarah Program, En. Nik Muhammad Farhan Hakim bin Nik Badrul Alam sebagai pemudah cara dan Dr. Nor Amalina Nisa Ariffin sebagai Moderator. Turut hadir bersama adalah Prof. Dr. Wan Mohd Nazri Bin Wan Abdul Rahman, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan & Jaringan Industri (Menjalankan Fungsi Rektor) UiTM Cawangan Pahang yang telah memberi ucapan aluan pada awal sesi perkongsian tersebut.

Secara keseluruhan, semua peserta telah memberikan respon yang positif sepanjang sesi perkongsian ini berlangsung. Peserta juga sangat aktif dan menunjukkan minat yang sangat mendalam pada topik yang dibincangkan oleh Prof. Sheremet dengan pelbagai soalan yang telah diajukan pada akhir sesi perkongsian tersebut. Antara maklumbalas yang diterima adalah memohon untuk memanjangkan tempoh masa bengkel dan menganjurkan bengkel lanjutan. Rentetan daripada maklum balas yang positif daripada peserta, program ini dirancang akan diteruskan lagi untuk sesi perkongsian dengan tajuk yang lebih menarik pada masa akan datang.