Pada 8 Disember 2022, satu sesi webinar bertajuk “Talent Development in Malaysia” telah diadakan selama dua jam bermula jam 10.00 pagi hingga jam 12.00 tengah hari menerusi platform CISCO WEBEX. Program webinar ini telah berjaya dianjurkan hasil daripada kolaborasi pengajaran bagi subjek “Motor Learning and Control” (SPS 585), Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi yang terdiri dari pelbagai cawangan antaranya Perlis, Shah Alam, Sarawak, Negeri Sembilan dan Pahang.
Webinar ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan mencapai kehadiran seramai 206 orang peserta yang terdiri daripada pelajar yang sedang mengikuti kursus SPS585 serta pensyarah FSR yang berkelapangan sepanjang sesi berlangsung. Webinar ini telah menjemput penceramah dari industri sukan iaitu En. Mohd Zaid Bin Ghazali selaku “Head of Talent Identification and Development (TID) Center” daripada Institut Sukan Negara (ISN) Malaysia untuk berkongsi maklumat tentang perkembangan bakat sukan di Malaysia. En. Mohd Syafiq bin Miswan salah seorang pensyarah FSR dari cawangan Perlis telah menjadi moderator sepanjang pengendalian webinar ini.
Melalui sesi perkongsian ini, peserta bukan sahaja didedahkan dengan pelbagai informasi berkaitan perkembangan bakat sukan di Malaysia, malah penceramah juga membawa para peserta untuk mengexplorasi kaedah dan teori untuk mengenal pasti bakat sukan yang telah berevolusi diserata dunia seperti German, Autralia, china dan sebagainya. Seiring dengan visi dan misi FSR untuk menjadi peneraju utama sebagai salah satu pusat kecemerlangan profesional dalam bidang sukan, pendedahan seperti ini dapat memberi impak yang positif kepada para pelajar untuk mendalami kepelbagaian bidang yang terdapat di dalam industri sukan.
Selain dari itu, kandungan webinar ini turut memberi penekanan terhadap pelan pembangunan bakat sukan kebangsaan yang telah dilaksankan oleh pihak ISN. Ini menunjukkan bahawa bidang sukan merupakan salah satu bidang penting yang harus diterokai oleh generasi baru terutamanya para pelajar FSR di UiTM ini.
Setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada penceramah webinar “Talent Development in Malaysia” iaitu En. Mohd Zaid Bin Ghazali kerana telah menyempurnakan sesi perkongsian ini dengan pelbagai informasi yang sangat berguna. Diharap kerjasama bersama ISN ini dapat diteruskan lagi dimasa akan datang bagi menerapkan pengetahuan berkaitan industri sukan kepada para pelajar yang kelak akan meneruskan perkembangan sukan di Malaysia.