Webinar “Masalah Tidur di Kalangan Warga Emas: Atuk Nak Tidur Lena” yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pemulihan Carakerja di Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berlangsung dengan berjaya pada 11 Mei 2024 secara atas talian melalui aplikasi Google Meet. Webinar ini dihadiri oleh lebih kurang 300 orang peserta, termasuk pelajar Fakulti Sains Kesihatan, jurupulih carakerja, dan orang awam. Tujuan webinar ini adalah untuk menyebarkan kesedaran mengenai pentingnya kualiti tidur dalam kalangan warga emas serta menawarkan strategi untuk mengatasi masalah tidur yang sering dihadapi oleh golongan tersebut
Menurut data dari Jabatan Perangkaan Malaysia, populasi warga emas di Malaysia dijangka meningkat kepada 15 peratus daripada keseluruhan populasi menjelang tahun 2030. Kondisi ini menimbulkan keperluan untuk memberi perhatian serius terhadap isu-isu kesihatan yang dihadapi oleh golongan ini, terutamanya masalah tidur yang sering diabaikan. Penyelidikan menunjukkan bahawa sebahagian besar warga emas menghadapi kesulitan dalam mendapatkan tidur yang berkualiti, yang boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental mereka.
Webinar ini penting kerana statistik menunjukkan bahawa sebahagian besar warga emas di Malaysia mengalami masalah tidur, dengan 66.6% daripadanya dilaporkan tidak tidur dengan baik. Faktor-faktor seperti stres, masalah kesihatan, dan kebiasaan tidur yang tidak teratur turut menyumbang kepada masalah ini. Kualiti tidur yang buruk pula boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan seperti tekanan darah tinggi, obesiti, dan risiko penyakit Alzheimer.
Objektif webinar ini termasuk meningkatkan kesedaran tentang masalah tidur di kalangan warga emas, berkongsi strategi untuk mengatasi masalah tidur, memberi peluang kepada pelajar untuk mengasah bakat dalam memberikan ceramah, dan membina hubungan antara profesion kesihatan dengan masyarakat.
Dalam sesi tanya jawab webinar, peserta telah mengemukakan pelbagai soalan berkaitan dengan masalah tidur, termasuklah isu-isu seperti restless leg syndrome (RLS), kegunaan kafein, REM behavior sleep disorder, narcolepsy, dan cara-cara untuk menguruskan gangguan tidur yang berbeza. Beberapa soalan juga berkaitan dengan cara menguruskan masalah tidur seperti bibir kering semasa tidur, kesukaran untuk tidur semula selepas terjaga, serta pengetahuan tentang lampu khusus untuk terapi cahaya. Jawapan yang diberikan memberi cadangan dan panduan praktikal untuk mengatasi masalah-masalah ini.
Sangat penting untuk diingat bahawa sebelum menerapkan mana-mana strategi atau tip yang dibincangkan dalam webinar, adalah bijak untuk mendapatkan saringan pakar atau nasihat dari doktor. Konsultasi dengan pakar tidur atau doktor akan membantu individu dalam memahami masalah tidur mereka dengan lebih mendalam, dan memastikan bahawa langkah-langkah yang diambil adalah selamat dan berkesan. Dengan mendapatkan penilaian pakar, individu juga dapat menghindari risiko menggunakan strategi atau treatment yang mungkin tidak sesuai atau bahkan berbahaya untuk keadaan kesihatan mereka. Oleh itu, saringan pakar atau doktor adalah langkah yang sangat penting sebelum mengambil langkah-langkah selanjutnya dalam menguruskan masalah tidur.