Webinar Lestari Ke Arah Pengurangan Sisa Makanan

Satu program seminar antarabangsa atas talian bertemakan kelestarian iaitu “International Webinar On Sustainable Cities and Communities (SDG 11): Avoiding Food Wastage and Preserving Culture” telah dianjurkan dengan jayanya pada 3 Julai 2021 oleh kumpulan pelajar kursus Ekonomi Alam Sekitar dari program pengajian Ekonomi Perniagaan (BA250), Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), UiTM Puncak Alam.

Program ini diadakan dengan tujuan untuk mendedahkan dan mendidik masyarakat mengenai strategi pengurangan sisa makanan untuk pengguna dan pengeluar di dunia bagi mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11 menjelang tahun 2030.

Dengan dihadiri oleh lebih 130 peserta, program yang dirasmikan oleh Dekan FPP UiTM iaitu Professor Dr. Noryati Ahmad ini telah mengetengahkan isu pembaziran makanan serta kesannya dalam kehidupan masyarakat. Kaedah mengelakkan pembaziran ke atas sumber penting ini telah dikupas dari perspektif pengguna, pengeluar hasil tani serta sektor logistik oleh penceramah yang terdiri dari Encik Alvin Chen yang merupakan pengasas komuniti What-a-Waste, Dr Jarot Tri Bowo Santoso, pensyarah dari Universitas Negeri Semarang (UNNES) Indonesia serta Dr Emi Normalina Omar, pensyarah dari FBM, UiTM.

Program diskusi atas talian ini telah memberi peluang kepada pelajar untuk membina hubungan yang baik serta berkerjasama secara efektif dengan masyarakat tempatan dan antarabangsa. Program ini diharapkan telah dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pelajar dan orang ramai mengenai nilai sumber alam, khususnya sumber makanan kepada manusia sejagat melalui kepentingan memelihara budaya tradisi serta menggunakan kaedah yang lestari dalam pemprosesan dan pengurusan makanan.