Webinar FSPU: Pelaksanaan OSC 3.0 Plus

Siri webinar Proses dan Prosedur Cadangan Pemajuan Serta Pelaksanaan Pusat Setempat (OSC) 3.0 Plus telah diadakan pada 16 Disember 2020 dari pukul 10 pagi hingga 12 tengahari. Program ini telah dianjurkan pelajar-pelajar dari Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur (FSPU), UiTM Cawangan Selangor.

Webinar ini telah diadakan secara atas talian menggunakan platform Google Meet dan telah dihadiri lebih 50 pelajar Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (AP221). Program ini telah diadakan bertujuan untuk mendedahkan pelajar-pelajar AP221 dengan proses dan prosedur yang telah digunakan bagi melaksanakan OSC 3.0 Plus di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Semenanjung Malaysia.

Syarahan ini telah disampaikan oleh Puan Nur Wahida Md Aris. Beliau adalah merupakan alumni Pelajar Perancangan Bandar dan Wilayah UiTM dan kini sedang bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Perundingan Kawalan Pemajuan, Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pelan pemajuan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia. Moderator bagi siri webinar ini adalah Cik Siti Nor Natasya Khamis, pelajar program Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah (AP221).

Program ini turut dihadiri oleh Ketua Program Pusat Pengajian Perancangan Bandar dan Wilayah, TPr Dr Marlyana Azyyati Marzukhi. Sepanjang dua jam sesi syarahan ini dijalankan,  Puan Nur Wahida Md Aris telah berkongsi pengalaman dan kepakaran beliau mengenai amalan OSC 3.0 Plus di PBT Semenanjung Malaysia. OSC 3.0 Plus adalah merupakan satu sistem yang digunakan oleh pihak industri untuk mengemukakan permohonan pelan pemajuan kepada PBT secara atas talian. Ianya digunakan bagi menambahbaik tahap kecekapan sistem penyampaian kerajaan sekaligus mengatasi masalah kelewatan kelulusan pemajuan.

Siri webinar ini telah mendapat sambutan yang baik daripada para peserta. Pelbagai soalan telah diajukan kepada penceramah mengenai aspek-aspek pelaksanaan OSC 3.0 Plus di PBT Semenanjung Malaysia. Secara keseluruhannya, webinar ini telah memberikan pelbagai manfaat kepada peserta dari segi menambah ilmu peserta mengenai amalan perancangan terkini di Malaysia dan perkongsian kepakaran dari pihak industri. Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur mengucapkan jutaan penghargaan kepada Puan Nur Wahida Md Aris diatas kesudian beliau meluangkan masa untuk berkongsi kepakaran dengan pelajar-pelajar AP221. Diharapkan program sebegini akan dapat dianjurkan lagi pada masa yang akan datang bagi menambah ilmu yang boleh dimanfaatkan pelajar-pelajar.