Webinar: Entrepreneurship Begins Here (Financial Management)

Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah melabuhkan tirai satu program keusahawanan iaitu Webinar: Entrepreneurship begins Here (Financial Management). Program ini telah dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan sesi 2019/2020 dengan kerjasama daripada persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan.

Program ini julung-julung kalinya dijalankan bagi memberi pendedahan dan ilmu tentang pengurusan kewangan kepada pelajar. Selain itu, perkongsian info seperti ini mampu mendidik mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan untuk lebih teratur dan menguruskan kewangan perniagaan mereka dengan lebih efektif. Webinar: Entrepreneurship begins Here (Financial Mangement) ini telah menampilkan En Halim Shuhaimi bin Yeop Johari, seorang Pensyarah Kanan yang berkemahiran dalam ekonomi, perniagaan dan pengurusan serta pakar dalam pengurusan perakaunan. Tambahan pula, beliau juga merupakan koordinator keusahawanan bagi Fakulti Perakaunan. Antara info yang dikongsikan termasuklah cara pengiraan keuntungan dan proses menyimpan yang efisien. Di samping itu, turut dikongsikan info berkaitan faedah dan manfaat bagi pelajar yang berdaftar dibawah MASMED UiTM.

Seramai 139 orang peserta telah terlibat dalam program ini menerusi medium Google Meet dan Facebook Live. Perkongsian yang berlangsung hampir 2 jam ini bermula dari 2.30 petang sehingga 4.30 petang dan telah berlangsung dengan jayanya.

Program ini juga telah menonjolkan kerjasama antara Sekretariat Mahasiswa Fakulti dan persatuan dalaman yang mampu menjadi contoh pada mahasiswa lain. Selain itu, kerjasama ini juga dapat menjadi pengalaman buat ahli jawatankuasa untuk bertukar pandangan dan pendapat dalam menghasilkan program yang bermanfaat buat semua mahasiswa lain. Oleh itu, ikatan antara persatuan-persatuan dalam dan juga SMF FSK dapat diperkukuh melalui kerjasama yang erat ini.

Secara keseluruhannya, Webinar ini telah berjaya menarik minat pelajar secara tidak langsung untuk menceburi bidang pernigaan terutama dalam kalangan pelajar Fakulti Sains Kesihatan. Diharapkan segala perkongsian dan ilmu yang diberi mampu mencorakkan peserta yang terlibat lebih berjaya dan cemerlang dalam perniagaan mereka.