Pada 19 November 2020, Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH) di bawah Fakulti Sains Kesihatan telah menganjurkan program Webinar Career Talk – MLT Future Career Pathway. Program ini dijalankan secara atas talian melalui platform Facebook Live MELTECH UiTM. Program ini berkonsepkan forum yang melibatkan dua orang panel dan seorang moderator. Program ini terbuka kepada mahasiswa dan alumni jurusan Teknologi Makmal Perubatan dari UiTM Puncak Alam. Program ini juga terbuka kepada mahasiswa jurusan Teknologi Makmal Perubatan dari institusi lain. Antara universiti lain yang turut terlibat ialah Universiti Selangor (UNISEL) Shah Alam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), UiTM Bertam, UiTM Kuala Pilah dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Kuching.
Objektif utama program adalah untuk memberi pendedahan awal tentang kerjaya-kerjaya yang boleh diceburi dan kepentingan kerjaya juruteknologi makmal perubatan kepada mahasiswa-mahasiswa kursus Teknologi Makmal Perubatan setelah tamat pengajian.
Forum dimulakan dengan kata alu-aluan oleh moderator, saudari Nurazyan Afrina binti Mohamad Azhan dan diteruskan dengan bacaan doa bagi memberkati majlis oleh saudara Muhammad Khairul Aniq bin Khalid daripada semester 7. Panel pertama yang dijemput ialah Ts. Muhamad Idham Mohamed seorang Pegawai Sains di Pusat Perubatan Pakar UiTM Hospital UiTM Sungai Buloh & Puncak Alam manakala panel kedua pula ialah En. Muadz Baharom seorang Senior Sales dan Application Specialist di syarikat Matrix Optics (M) Sdn Bhd.
Dalam pengisian forum tersebut, pelajar-pelajar telah didedahkan dengan pelbagai tip berkaitan cara kerja, skop pekerjaan dan ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang semasa temuduga serta bagaimana caranya untuk memperoleh ciri-ciri tersebut. En. Muadz berkata, “Ciri-ciri tersebut dapat diperoleh dengan mengaktifkan diri dalam bidang kepimpinan seperti menyertai persatuan. Bidang-bidang ini juga mampu meningkatkan soft-skills para pelajar seterusnya dapat diaplikasikan sewaktu temuduga dan di alam pekerjaan.” Apabila ditanya berkaitan cabaran-cabaran semasa temuduga, Ts. Muhammad Idham Mohamed menjawab, “Antara cabaran yang paling besar adalah persaingan dengan jurusan-jurusan lain terutama jurusan Biomedical. Terdapat 50000 graduan yang memohon untuk pekerjaan atau jawatan yang mana mempunyai kuota yang sangat terhad.” Ditambah lagi oleh En Muadz, “Sehubungan dengan itu, para graduan tidak boleh meminta atau memilih dalam pekerjaan. Sebaliknya, jika ada rezeki ke arah sesuatu yang lebih baik rebut peluang tersebut terlebih dahulu.”
Seterusnya, program diakhiri dengan sesi soal jawab dan pertanyaan daripada para penonton berjaya dijawab secara menyeluruh oleh panel jemputan. Ucapan terima kasih ditujukan kepada ahli panel yang sudi berkongsi ilmu dan kepada semua peserta yang turut melibatkan diri dalam program ini. Pihak kami berharap agar program ini dapat memberi manfaat dan ilmu tambahan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang akan menempuh bidang pekerjaan kelak.