“We Care Together” Program Khidmat Masyarakat FPA Kampus Jengka Bersama Rumah Tunas Harapan (RTH)

Dengan bertemakan “We Care Together” satu program khidmat masyarakat anjuran Fakulti Perladangan & Agroteknologi (FPA), Kampus Jengka bersama Rumah Tunas Harapan (RTH) telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama daripada semua pensyarah FPA dan juga staf Unit Pengurusan Ladang. Rumah Tunas Harapan (RTH) adalah rumah kanak-kanak sistem berkeluarga yang berperanan memberi jagaan, perlindungan dan kasih sayang dalam suasana sebuah keluarga kepada kanak-kanak yang tidak dapat hidup bersama ibu bapa/keluarga kandung. Mereka diberi penjagaan dan perlindungan oleh penjaga yang telah dilantik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai ibu bapa pelihara mereka.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab FPA sebagai sebuah institusi dalam bidang perladangan untuk menjadi nadi kepada pembangunan komuniti sekitar melalui program penyampaian ilmu dan kepakaran yang sedia ada. Program khidmat masyarakat ini merupakan rentetan dari satu Program Sumbangan Sulur Nanas MD2 yang telah dianjurkan oleh FPA pada 21 Disember 2022 kepada komuniti setempat antaranya Sek. Keb. Jengka Pusat 2, Sek. Keb. Bandar Pusat, KRT Permatang Shahbandar 2, KRT Taman Jengka Indah dan juga kepada En Roshairi wakil dari RTH Bandar Jengka.

Program yang bermula jam 8.00 pagi dan berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari telah melibatkan seramai 20 orang penghuni RTH serta 14 orang pensyarah FPA dan staf UPL. Jawatankuasa Khidmat Masyarakat Fakulti Perladangan & Agroteknologi sentiasa mengadakan program Khidmat Masyarakat bagi memenuhi kriteria KPI Fakulti dengan mengadakan program atau aktiviti Tanggunggjawab Sosial Universiti (USR) selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 2 (kelaparan sifar) yang bertujuan mengakhiri kelaparan, mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik.

Antara aktiviti yang telah dilaksanakan sempena program ini ialah program pemindahan ilmu asas tanaman nanas kepada komuniti RTH. Dengan tema “We Care Together” ini pihak Fakulti mengambil inisiatif untuk membina satu ruang bagi tanaman Nanas MD2 untuk mengelakkan dari serangan haiwan perosak. Selain itu, program ini juga telah menjalankan beberapa aktiviti secara praktikal bersama komuniti RTH antaranya aktiviti pemangkasan pokok buah-buahan di sekitar RTH, aktiviti kawalan penyakit dan serangga perosak, membaja tanaman buah-buahan dan bunga-bungan, dan juga pemberian sumbangan bahan pertanian seperti baja, racun, alatan pertanian kepada komuniti RTH.


Sebagai konklusi, program seumpama ini telah menjadikan FPA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang prihatin terhadap keperluan komuniti dengan mewujudkan rasa kesedaran serta tanggungjawab sosial dalam kalangan staf untuk membantu masyarakat secara sukarela disamping membantu golongan yang memerlukan terutama komuniti RTH dalam mencapai jaminan makanan dan nutrisi yang lebih baik serta menggalakkan pertanian secara mampan.