Shah Alam, 23 Mei 2024 – Taman Warisan Melayu, Taman Tasik Shah Alam menjadi saksi pertaruhan idea kreatif para pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam pertandingan seni arca sempena sambutan Hari Landskap Negara 2024 yang berlangsung selama 10 hari bermula 24 Mei sehingga 2 Jun 2024. Pertandingan tersebut disertai oleh sepuluh kumpulan yang mewakili empat IPT iaitu, Universiti Teknologi MARA, UiTM (2 kumpulan), Universiti Putra Malaysia, UPM (5 kumpulan), Politeknik Nilai (2 Kumpulan) dan Universiti Taylor (1 kumpulan). Setiap kumpulan yang terdiri dari lima orang pelajar, mempamerkan kreativiti dan inovasi bersesuaian dengan konsep yang dipilih dalam penghasilan arca tersebut.
Dua kumpulan yang mewakili UiTM merupakan pelajar Sarjana Muda Senibina Landskap (Kepujian), Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Mereka menyandarkan dua buah arca berkonsepkan ”Wau-risan” dan ”Takik”. Kumpulan Rindiani yang diselia oleh Dr. Mohd Zahid bin Mohd Salleh, memilih konsep ”Wau-risan” yang diinspirasikan daripada permainan tradisional wau kapal yang telah rasminya menjadi identiti bagi Negeri Selangor pada Januari 2024. Selari dengan konsep pertandingan ”Sculpture in the Park: The Malay Heritage”, kayu yang juga menjadi simbolik bahan utama pembinaan orang Melayu sejak zaman dahulu, telah dipilih sebagai bahan utama arca. Pemilihan warna kuning, biru, merah dan putih bagi elemen pada arca tersebut diilhamkan daripada warna jalur gemilang dan logo Malaysia Madani. Elemen kinetik turut diaplikasikan dalam rekabentuk arca tersebut sebagai perlambangan wau yang terbang tinggi di udara. Selain itu, arca tersebut menggambarkan anak-anak nelayan yang menunggu kepulangan bapa mereka di pangkalan dengan menaikkan wau sebagai penanda arah. Ini kerana para nelayan zaman dahulu tidak mempunyai sebarang kemudahan penunjuk arah seperti rumah api yang ada pada hari ini.
Manakala kumpulan Vistosa yang diselia oleh Dr. Raziah binti Ahmad memilih konsep ”Takik” yang diinspirasikan daripada permainan tradisional gasing. ‘Takik’ adalah istilah nama yang digunakan dalam menghasilkan gasing tradisional. Selain itu, istilah tersebut juga merujuk kepada perbuatan menjatuhkan atau memberhenti gasing pihak lawan. Sifat kelestarian kayu sebagai bahan binaan semulajadi yang menjadi asas binaan orang Melayu sejak dahulu kala dipilih dalam penghasilan arca gasing berembang ini. Susunan arca bertingkat dalam pelbagai bentuk menjadi simbolik kepada hala tuju dan minat terhadap gasing sebagai salah satu permainan tradisional yang semakin menghilang dalam kalangan anak muda kini. Manakala tapak konkrit dan tiang besi di tengah arca membawa maksud harapan agar permainan ini tidak pupus ditelan arus pemodenan.
Pertandingan ini diadili oleh juri profesional yang terdiri daripada seorang pembuat arca profesional, seorang wakil Jabatan Landskap Negara (JLN) dan seorang wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Setiap kumpulan diberikan masa selama sepuluh minit bagi membentangkan hasil kreatif arca masing-masing. Sesi penjurian tersebut bermula jam 2.00 petang sehingga jam 4.00 petang. Seusai sesi penjurian, pihak penganjur memaklumkan keputusan pertandingan arca tersebut akan diumumkan pada Majlis Penyampaian Hadiah yang akan berlangsung pada 26 Mei 2024 di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS. Sebelum bersurai, acara pertandingan ini diakhiri dengan sesi bergambar sebagai kenang-kenangan bersama para peserta, juri dan pihak penganjur.