28 Oktober 2024 – UiTM Shah Alam telah dijemput ke Pameran Kerjaya anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan British Malaysia Chamber of Commerce MOHE-BMCC yang telah berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu, 26 Oktober 2024 yang lalu. Pameran kerja ini dihadiri oleh warga UiTM yang terdiri daripada pelajar MPP, JPJPP, pelajar-pelajar dari kolej kediaman serta dua pegawai pengiring dari Pusat Pembangunan Pelajar, JHEP.
Majlis ini dihadiri oleh tetamu-tetamu kehormat, iaitu Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Tom Shepherd; Setiausaha Bahagian, Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Datin Noorazah Omar; dan Ketua Pegawai Eksekutif BMCC, Jennifer Lopez.
Pameran kerja ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin yang turut menjadi salah seorang panelist yang membincangkan tajuk Workforce Development and Skills for the Future. Datuk Shahrin juga turut meluangkan masa bergambar dan bertegur sapa dengan warga UiTM di majlis tersebut.
Pameran kerjaya ini bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendapatkan peluang pekerjaan, termasuk di peringkat antarabangsa, membolehkan kemahiran tenaga kerja tempatan dipasarkan ke peringkat global. Sebanyak lebih daripada 25 syarikat terkemuka Britain di Malaysia yang menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan kepada graduan, termasuk skim latihan siswazah.
Kerjasama antara KPT dan BMCC ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara kedua negara melalui pendidikan dengan menggalakkan lebih ramai pelajar dan graduan untuk meneruskan pengajian dan mendapatkan pekerjaan di negara berkenaan. Pameran kerja ini juga turut memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali bakal majikan mereka dengan lebih mendalam, mengenalpasti jenis pekerjaan yang menepati aspirasi mereka serta meluaskan rangkaian profesional mereka.
Program ini diharap membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada pelajar UiTM dan menjadi contoh kejayaan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta yang diutarakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2025 dan majlis peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030.