SHAH ALAM, 8 Januari 2025 – Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, menjadi medan penyatuan semangat cinta tanah air melalui penganjuran Program Wacana Semarak Patriotisme 2025. Program berprestij ini, anjuran Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, dengan kerjasama Unit Kokurikulum Se-Malaysia dan Majlis Perwakilan Komander Kesatria sesi 2024/2025, berjaya menarik penyertaan ribuan mahasiswa UiTM dari seluruh negara.
Lebih istimewa, Program Wacana Semarak Patriotisme 2025 turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Wira Haji Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin, Setiausaha Politik kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri 1 merangkap Presiden PESAKA Malaysia, yang bertindak sebagai panel utama program ini. Kehadiran beliau bersama 21 pemimpin masyarakat Selangor, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP), serta barisan ahli Eksekutif Hal Ehwal Pelajar dan staf Pusat Kokurikulum UiTM, turut memeriahkan lagi acara bersejarah ini.
Program ini mencatat penyertaan yang luar biasa dengan 86,000 pelajar UiTM seluruh Malaysia, yang mana 7,000 pelajar hadir secara fizikal di DATC, sementara selebihnya mengikuti secara maya melalui YouTube UiTM Channel. Program ini bukan sahaja relevan kepada mahasiswa UiTM, tetapi juga membuka peluang kepada masyarakat umum untuk turut serta, menjadikannya satu pencapaian besar dalam usaha menyemai semangat patriotisme di kalangan generasi muda.
Program Wacana Semarak Patriotisme bertujuan untuk menyemai semangat cinta negara dalam kalangan mahasiswa UiTM. Ia juga membantu mereka membina jati diri dan disiplin, sambil mengukuhkan perpaduan sebagai asas kepada pembangunan negara. Selain itu, program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk memahami tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang aktif, harmoni, dan progresif.
Menurut Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi, program ini adalah platform penting dalam membentuk generasi mahasiswa yang berilmu, berjiwa bangsa, dan berdaya tahan untuk menghadapi cabaran global. Beliau berharap nilai patriotisme yang diterapkan melalui program ini menjadi asas kukuh kepada kestabilan dan kemajuan negara.
Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Wira Haji Megat Zulkarnain bin Tan Sri Omardin menegaskan bahawa semangat patriotisme bukan sekadar slogan, tetapi nilai teras yang perlu ditanam dalam diri setiap mahasiswa. Menurut beliau, cinta negara adalah tanggungjawab bersama, dan mahasiswa sebagai generasi muda perlu memainkan peranan penting dalam mempertahankan maruah bangsa serta tanah air.
Beliau turut memuji UiTM atas usaha padu menyemarakkan patriotisme melalui program ini, sambil menyatakan bahawa mahasiswa yang memiliki nilai patriotisme yang kukuh adalah aset negara yang tidak ternilai.
Program ini bertindak sebagai medium pendidikan dan kesedaran, mendidik mahasiswa mengenai pentingnya perpaduan dan nilai cinta negara. Melalui siaran langsung di platform digital seperti Facebook Live, program ini memperluaskan capaian kepada masyarakat umum, membuktikan keberkesanan UiTM dalam memanfaatkan teknologi untuk menyampaikan mesej penting.
Menurut Datuk Dr. Hasrol Jono, Pengarah Pusat Kokurikulum UiTM, pihaknya bercadang untuk menjadikan Wacana Semarak Patriotisme sebagai acara tahunan dengan penambahbaikan berterusan bagi memastikan keberkesanannya dalam memupuk semangat patriotisme yang utuh dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.
Program Wacana Semarak Patriotisme 2025 bukan sekadar acara biasa, tetapi ia juga adalah simbol dedikasi UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi intelek, sahsiah, dan semangat patriotisme. Di bawah kepimpinan Nooraidah Mokhtar, Penolong Pendaftar Kanan (Kokurikulum), setiap perancangan dan pelaksanaan program ini telah disusun dengan teliti. Kejayaan ini mencerminkan komitmen UiTM untuk terus membentuk pemimpin masa depan yang bersedia memikul tanggungjawab besar untuk memajukan negara.
Tahniah diucapkan kepada Pusat Kokurikulum UiTM Shah Alam, Unit Kokurikulum Semalaysia, dan Majlis Perwakilan Komander Kesatria atas penganjuran program yang penuh inspirasi ini. Semoga usaha murni ini terus menjadi simbol kecemerlangan UiTM dalam menyemarakkan semangat perpaduan dan patriotisme di kalangan mahasiswa UiTM dan seluruh rakyat Malaysia.
Penulis Utama: Mohd Nor Hajar Hasrol Jono, Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi
Penulis Bersama: Nor Azlin Rosli, Najihah Azmi, Mohd Ali Mohd Isa, Dr. Azlan Abdul Aziz