Wacana “Kedaulatan Melayu” di Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam

 

Wacana Kursi Institusi Raja-Raja Melayu bertajuk “Kedaulatan Melayu” telah sampaikan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal bin Kling (Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) UiTM) pada 10 September 2019 bertempat di Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam.

Siri wacana ini melibatkan mahasiswa semester akhir seramai 102 orang. Program ini juga dihadiri oleh Profesor Dr Hajah Farida Zuraina binti Mohd Yusof (Dekan Fakulti Sains Gunaan) beserta barisan pengurusan tertinggi fakulti dan staf Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam.

Penubuhan KIRRM secara rasminya mula beroperasi pada 2 Julai 2018 melalui Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja. Antara peranan KIRRM adalah memberi kesedaran kepada masyarakat dengan memberi kefahaman yang jelas dan tepat mengenai Raja-Raja Melayu dan mendaulatkan Institusi Raja-Raja Melayu.

Oleh itu, fokus utama wacana ini adalah perkongsian ilmu bersama warga Fakulti Sains Gunaan, UiTM Shah Alam mengenai kepentingan memahami sejarah, Perlembagaan Persekutuan dan peranan Raja-Raja Melayu.

Disamping itu, para mahasiswa dan staf fakulti berpeluang untuk berinteraksi dan bersoal jawab mengenai perkara-perkara yang berkaitan. Secara tidak langsung, wacana ini dapat meningkatkan rasa sayang kepada negara dalam usaha memperkukuhkan kedaulatan melayu sejajar dengan peribahasa “tak lapuk dek hujan, tak lapuk dek panas”.

Pemerkasaan peranan KIRRM dalam mencapai objektif penubuhanya kepada seluruh mahasiswa UiTM selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua  Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayaluddin  Al-Mustafa Billah Shah selaku Canselor Universiti Teknologi MARA sempena Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-90.

Oleh: Mohd Sufri bin Mastuli, Koordinator HEP Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

0
0