‘Visual Art and Design Education Showcase’ Tingkatkan Nilai Penyelidikan Pelajar Fakulti Pendidikan

Visual Art and Design Education Showcase Tingkatkan Nilai Penyelidikan Pelajar Fakulti Pendidikan
Gambar-gambar program

Pada hujung Disember 2019 yang lalu, Program Sarjana Pendidikan Seni Visual Fakulti Pendidikan telah menganjurkan Visual Art and Design Education Showcase di Muzium Kesenian Islam Malaysia. Program ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Universitas Pendidikan Indonesia (UPI); dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Selangor (UNISEL).

Showcase ini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan hampir 30 pelajar Ijazah Sarjana Pendidikan Seni Visual dan Rekabentuk, dan 20 pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni dan Senireka. Matlamat utama program ialah untuk menyediakan platform kepada para pelajar dalam mengenengahkan ilmu, kemahiran dan pengalaman melalui pameran hasil penyelidikan mereka.

Interaksi di antara pelajar dan para penilai memberikan gambaran sebenar kepada para pelajar tentang nilai hasil penyelidikan mereka pada pandangan industri dan masyarakat luar.  Selain daripada penilai-penilai dari MRM, ASWARA dan UNISEL, program ini juga menerima penglibatan penilai antarabangsa dengan kehadiran 3 orang penilai dari Fakultas Pendidikan Seni dan Desain, Universitas Pendidikan Indonesia (UPI), Indonesia.

Visual Art and Design Education Showcase Tingkatkan Nilai Penyelidikan Pelajar Fakulti Pendidikan
Sebahagian daripada peserta membentangkan hasil penyelidikan mereka

Program ini selari dengan Society 5.0 melalui penglibatan masyarakat dan pakar industri untuk sama-sama menyumbang kepada kelangsungan pelajar selaku pendidik alaf 21. Ianya juga diharapkan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada penyelidikan dan produk-produk yang dihasilkan, malah memberi gambaran sebenar kepada wakil-wakil industri tentang nilai dan kemampuan para pelajar Fakulti Pendidikan dalam menyediakan hasil penyelidikan yang berkualiti.

Program ini juga berperanan sebagai salah satu aktiviti di bawah Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Muzium Kesenian Islam dan UPI. Terima kasih kepada rakan-rakan kerjasama dalam menjayakan program ini, terutamanya kepada Muzium Kesenian Islam Malaysia selaku rakan kerjasama utama dan penaja lokasi.