Seremban, 16 Mei 2024 – Program VES Talk Session 3.0: Dialog Mahasiswa dan Ahli Politik, YB Datuk Khaidhirah Bt. Datuk Seri Abu Zahar, anjuran Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Toh Puan Sungei Ujong 1, UiTM kampus Seremban. Turut hadir dalam program ini adalah YBrs. Prof. Madya Dr. Nor Hafizah Mohamed Harith, Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi. Program ini bertujuan sebagai platform untuk para pelajar FSPPP mendengar perkongsian YB Datuk Khaidhirah mengenai peranan mahasiswa dan belia dalam politik negara serta pengalaman beliau sepanjang bergelar ahli politik.
Program VES Talk Session 3.0 ini telah dikelolai oleh Saudari Syasya Husna, Presiden Voting Education Society (VES), UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang membincangkan topik “Undi 18 Penentu Masa Depan Siswa”. YB Datuk Khaidhirah berkongsi tentang kisah penglibatan beliau dalam industi hiburan sebelum beliau melibatkan diri dalam bidang politik. YB Datuk Khaidhirah yang merupakan Ahli Dewan Undangan Rim, Melaka menyifatkan penglibatan beliau dalam arena politik adalah atas dorongan dan sokongan kuat dari keluarganya.
Selain perkongsian kisah karier beliau dalam industri hiburan dan bidang politik, YB Datuk Khaidhirah juga menerangkan tentang peranan belia dan mahasiswa dalam menentukan masa depan negara. Beliau menekankan tentang kepentingan kesedaran politik dalam kalangan golongan belia khususnya para mahasiswa kerana mereka mampu memberi impak kepada landskap politik negara.
Secara umumnya, program ini telah dapat meningkatkan kesedaran para pelajar tentang kepentingan mereka sebagai golongan belia yang akan mencorak masa depan negara. Menerusi program ini, para pelajar FSPPP khususnya, telah dapat menambah pengetahuan berkaitan proses pilihanraya serta mendalami dengan lebih lanjut tentang peranan mereka dalam proses tersebut. Seterusnya, program ini dapat menerapkan semangat cintakan negara dalam kalangan belia dan dapat melahirkan pelajar UiTM yang celik tentang politik dan sistem demokrasi negara.