UTiMAS & InQKA anjurkan Diskusi Web mengenai kesan COVID-19 kepada kehidupan Pensyarah

UTiMAS & InQKA anjurkan Diskusi Web mengenai kesan COVID-19 kepada kehidupan Pensyarah
Sesi fotografi Program Diskusi Web

21 Mei 2020 – Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA) telah menganjurkan program Diskusi Web bertajuk “Mendepani Cabaran COVID19 dalam Mengimbangi Kecemerlangan Universiti dan Kualiti Hidup Pensyarah” selama 2 jam dalam talian. Panel yang terkemuka yang turut serta dalam perkongsian ilmu ialah Datuk Ir. Hj. Wan Nazri Hj. Wan Aria, merupakan seorang Jurutera Struktur Menara Jam Al-Bait, Makkah, Prof. Datuk Dr. Hj. Mohd Idrus Mohd Masirin, merupakan Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof. Ts. Dr. Mohd Hamdan Ahmad, seorang Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Prof. Dr Hjh. Roziah Mohd Janor, Penolong Naib Canselor InQKA/ Presiden MyQAN bersama moderator iaitu Prof Madya Abd Rahim Awang, selaku Presiden UTiMAS.

UTiMAS & InQKA anjurkan Diskusi Web mengenai kesan COVID-19 kepada kehidupan Pensyarah
Naib Canselor UiTM sedang memberi ucapan pembukaan

Professor Emiritus Datuk Ir.Dr.Mohd Azraai Kassim, Naib Canselor UiTM telah merasmikan program yang telah disertai seramai 600 peserta secara dalam talian iaitu melalui Google Meet dan Facebook LIVE. Pelbagai maklum balas telah diterima dan kebanyakkannya berpuas hati dengan pengendalian program dan perkongsian yang disampaikan. enurut Naib Canselor UiTM, program itu selari dengan slogan UiTM iaitu Menyerlah Potensi dan Membentuk Masa Hadapan. Menurut beliau, para pensyarah mempunyai banyak potensi dan kekuatan. Sekiranya mereka dapat menggemblengkan kekuatan dan serlahkan potensi, mereka akan dapat mengecapi lebih banyak kejayaan.

Terdapat dua isu utama dalam diskusi tersebut iaitu mengenai analisa terhadap situasi semasa kualiti kehidupan pensyarah dan strategi dalam masa terdekat terhadap kecemerlangan universiti.
Dua isu tersebut telah dikupas dengan baik oleh para panel.

UTiMAS & InQKA anjurkan Diskusi Web mengenai kesan COVID-19 kepada kehidupan Pensyarah
Datuk Ir. Hj. Wan Nazri


Pada sesi pertama, Datuk Ir. Hj. Wan Nazri merasakan banyak kecelaruan yang berlaku pada masyarakat kita disebabkan oleh COVID-19 dan masyarakat perlu ubah cara hidup baru dengan beberapa kekangan dalam aktiviti sosial. Beliau mengulas mengenai kesediaan fasiliti dan infrastruktur masih dalam tahap rendah di kalangan individu. Selain itu, mengenai ‘Work From Home (WFH)‘ yang hanya terpakai untuk sesetengah bidang dan tidak pada bidang yang lain.

Profesor Datuk Dr Idrus Masirin pula mengupas situasi semasa yang berlaku di universiti kesan dari pandemik COVID-19 yang mana universiti mula ditutup, pelajar dan pensyarah perlu meneruskan pembelajaran jarak jauh (Online Distance Learning, ODL), pelajar mula balik kampung halaman dan keadaan yang mana pelajar/ pensyarah sendiri dijangkiti oleh virus tersebut. Keadaan tersebut telah memaksa pihak pengurusan merangka standard prosedur baharu untuk memastikan kelestarian sistem pengajaran dan pembelajaran tidak terjejas. Antara langkah perlaksanaan dari pihak pengurusan ialah merekod kehadiran secara online, pengendalian kuliah secara dalam talian menggunakan Google Meet, WhatsApp, Zoom dan sebagainya sebagai platform komunikasi.

UTiMAS & InQKA anjurkan Diskusi Web mengenai kesan COVID-19 kepada kehidupan Pensyarah

Bagi Profesor Dr Mohd Hamdan Ahmad, tiada penyelesaian yang segera untuk menghapuskan COVID-19. Akan tetapi individu dan organisasi harus segera mengadaptasi norma baru demi kelangsungan kehidupan dengan lebih kreatif dan kolaboratif dari sebelum ini. Beliau mengharapkan ini merupakan peluang baik untuk individu berubah ke arah yang lebih produktif dan lebih baik. Profesor Dr Roziah pula memberi ulasan berpandukan kepada maklum balas terhadap kualiti hidup staf bekerja dari rumah (BDR) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Majoriti situasi staf yang BDR adalah stabil dengan tahap emosi yang neutral. Menurut beliau, ini kemungkinan disebabkan oleh ada peningkatan pengetahuan dari hari ke hari mengenai kesihatan, penyesuaian diri dengan kedudukan kewangan dan emosi beban tugas yang harus dipikul secara maya. Selain itu, ‘sense of belonging’ mungkin turut terhakis di kalangan pensyarah kerana keberadaan mereka yang bukan lagi di Universiti, malah mereka telah menjadikan persekitaran rumah sebagai persekitaran pejabat yang baharu dan memperbaiki hubungan dengan Tuhan.

Pada perbincangan sesi kedua, Datuk Ir. Hj. Wan Nazri berkata universiti sepatutnya bertindak sebagai frontliner untuk menerajui sistem pengajian ke arah kebolehpasaran graduan yang memenuhi permintaan industri. Profesor Datuk Dr Idrus Masirin turut mengulas mengenai impak kepada pelajar dan pensyarah, impak kepada penyampaian bahan kuliah dan sistem penilaian dan impak kepada akreditasi program. Antara impak yang dikenalpasti ialah kemungkinan pelajar akan mempunyai gred yang kurang baik dan lewat untuk tamatkan pengajian. Selain itu, masih ada kejutan budaya kerja terutamanya dalam sistem penilaian pelajar universiti dan penerimaan pihak selain universiti terhadap perubahan yang berlaku pada penyampaian dan pengendalian kursus.

Profesor Dr Mohd Hamdan Ahmad turut menambah mengenai kaedah pengurusan dan pengoptimuman sumber yang perlu difikirkan oleh pengurusan peringkat atasan. Contohnya seperti penggunaan ruang bilik yang mungkin tidak diperlukan lagi disebabkan kebanyakkan perkara boleh dilakukan secara maya. Pengurusan mulai sekarang perlu mengutamakan peruntukan ruang yang akan menghasilkan kualiti output lebih baik yang selama ini penggunaan ruang fizikal adalah terhad. Profesor Dr Roziah telah berkongsi mengenai Kualiti Hidup Pensyarah dan Bagaimana mengukur Produktiviti Kendiri di mana pensyarah perlu menyemak skop tugasan dan menentukan penghasilan kerja mengikut hari, minggu, bulan dan tahun.

Secara keseluruhan, perbincangan dan berkongsian ilmu telah membuka mata para pensyarah dalam menghadapi norma baharu untuk mengendalikan Pengajaran dan Pembelajaran, dan pasca COVID-19 yang pasti memberi kesan kepada pembuat keputusan di peringkat pengurusan universiti.

Oleh: Unit Komunikasi dan Pengembangan Ilmu, InQKA

0
0